Oleh Fetty Rara
BEKAS penyampai berita TV3 Zalina Shaharah Azman yang dilaporkan hilang mungkin ditemui di sebuah kafe di Shah Alam baru-baru ini.
Seorang individu yang menggunakan nama Mosyuki Borhan (Yuki) menerusi akaun Twitternya mendakwa seorang wanita seiras Zalina masuk ke kafenya di Seksyen 9, Shah Alam Selangor kira-kira pukul 1.00 tengah hari Ahad (17 Julai).
Menurut Mosyuki wanita itu kelihatan cemas dan menggigil ketakutan semasa berada di dalam sambil menoleh ke kiri dan ke kanan.
Beliau berasa agak pelik kerana ditanya sama ada ok, dia terus membisu.
Seorang pekerja kafe meminta dia duduk dan mengambil pesanan kemudian.
Mosyuki berkata wanita itu tidak banyak bercakap, selain berkata ‘Saya takut logam’, dan dia juga kelihatan lapar, lapor MStar.
Pemilik kafe itu berkata reaksi wanita itu mungkin kerana kedainya menggunakan banyak logam.
Beliau berkata pada mulanya wanita tersebut seolah-olah takut untuk masuk ke kedai, dan berdiri agak lama di depan pintu. Dia juga dikatakan seperti berada dalam tekanan, macam terancam.
Sejurus kemudian Mosyuki dan pekerjanya keluar dari kafe untuk melihat ke arah mana wanita itu menuju. Dia berjalan seperti tanpa tujuan dan tercari-cari sesuatu.
“Kami berharap dia selamat kerana kami tidak sempat memberikan dia makanan,” tambahnya.
Mosyuki berkata dia berasa tidak senang dengan kejadian itu memandangkan deskripsi yang disebarkan sama dengan Zalina yang dilaporkan hilang.
Beliau kemudian segera pergi ke ibu pejabat polis di Shah Alam untuk memaklumkan kepada mereka.
-BTS Media