Oleh Yusoff A. Shariff
SITI Nuramira Abdullah,26, wanita yang didakwa menghina Islam semasa persembahan di Kelab Komedi Crackhouse, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur tidak akan didakwa di mahkamah tinggi syariah hari ini (Selasa 20 Julai).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Hannan Syoffeya Zainal Syahrir, pembantu peguam R. Sivaraj yang mewakilinya, dia dibebaskan daripada tahanan pada kira-kira pukul 10 malam tadi selepas ditahan semula oleh pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada hari yang sama.
Mereka dimaklumkan bahawa Siti Nuramira dibebaskan tanpa jaminan atau bon JAWI serta-merta, tapi akan menghubunginya semula apabila pihak JAWI bersedia untuk berbuat demikian.
Menurut kenyataan itu, Siti Nuramira dibawa ke rumah ibu saudaranya di Kelana Jaya, Selangor, namun ibu saudaranya keberatan untuk menerima dan menempatkan anak saudaranya itu.
“Siti Nuramira kemudian dihantar ke sebuah lokasi di ibu kota iaitu tempat di mana saya tinggal. Saya kemudian membawanya dengan kereta saya dan dia meminta bertemu Sivaraj dengan segera sebelum saya menghantarnya pulang ke rumah di Petaling Jaya,” katanya.
Pasukan peguam wanita Siti Nuramira berkata, mereka telah bersedia untuk proses pendakwaan di Mahkamah Syariah hari ini (Rabu 20 Julai), tetapi berdepan dengan masalah untuk mendapatkan penjamin beragama Islam.
Mereka, bagaimanapun, berjaya mendapatkan seorang akauntan dari London yang baharu pulang ke Malaysia, namun dia dikatakan tidak sesuai menjadi penjamin.
Kenyataan pihak peguam Siti Nuramira diperoleh oleh media pagi ini di perkarangan Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Difahamkan bahawa pendakwaan terhadap Siti Nuramira di Mahkamah Syariah tidak akan diteruskan kerana pertuduhan yang bakal dikenakan terhadapnya adalah sama dengan pertuduhan yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen pada 13 Julai lalu.
Pertuduhan di Mahkamah Sesyen, bagaimanapun, memperuntukkan hukuman yang lebih berat berbanding hukuman di Mahkamah Syariah.
Dia sepatutnya didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Jika didapati bersalah, Siti Nuramira boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali.
Di Mahkamah Sesyen, Siti Nuramira yang mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran, didakwa membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di kelab komedi berkenaan sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama Islam lain.
Dia didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 13 Julai lalu, teman lelaki Siti Nuramira, V. Alexander Navin mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina ke Instagram dan YouTube.
Kedua-dua pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia memperuntukkan denda RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali.
Navin yang merupakan bekas jurulatih selam bebas juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Dia juga dibebaskan dengan jaminan RM20,000, hasil kutipan (crowdfunding) daripada orang awam melalui akaun kumpulan peguam Lawyers for Liberty.
-BTS Media