BTS Media

PBAPP bekal air percuma bernilai RM1 juta ke kawasan terjejas di Pulau Pinang

Oleh Fetty Rara

PERBADANAN Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) setakat ini telah membekalkan air percuma bernilai RM1 juta ke kawasan yang masih terjejas akibat gangguan bekalan.

Gangguan bekalan air yang tidak dijangka itu kini hampir memasuki seminggu.

Dalam kenyataan, PBAPP berkata tujuh kawasan di daerah Balik Pulau dan Nibong Tebal kini masih mengalami tekanan air rendah, dengan sesetengah kawasan tiada bekalan air sama sekali.

Walaupun operasi berjalan penuh di loji pengambilan dan rawatan utama Sungai Dua, Butterworth, PBAPP terpaksa menangani masalah paip bocor, paip pecah, angin tersekat dalam sistem paip dalaman, dan masalah meter di sesetengah lokasi.

PBAPP berkata keutamaan sekarang ialah penghantaran tangki bergerak dan tangki statik ke hospital dan pusat dialisis di kawasan yang masih menunggu bekalan air paip, selain memeriksa secara manual stesen-stesen pam yang ditutup.

Kesemua 95 stesen hanya boleh menyambung operasi apabila tekanan air mencukupi.

Isnin lalu, PBAPP terpaksa menghentikan operasi loji rawatan Sungai Dua selama empat jam berikutan air keruh yang dipamkan dari Baling, Kedah, di mana berlaku banjir besar.

Ia menyebabkan gangguan bekalan air kepada kira-kira 1.5 juta isi rumah selama antara tiga hingga lima hari bagi sesetengah kawasan, memandangkan unit kediaman bertingkat tinggi mula mengalami tekanan rendah apabila air dalam tangki simpanan kehabisan.

-BTS Media

Leave a Comment