GAMBAR ATAS: Reivax, CC BY-SA 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0>, via Wikimedia Commons.
Oleh Zainal AS Rashid
SRI Lanka yang pada satu ketika dahulu merupakan sebuah negara yang agak kaya, kini mengalami krisis dengan kekurangan hampir segala barangan, dari ubat-ubatan ke gas untuk memasak.
Keadaan ini memaksa ramai penduduk kembali memasak cara lama menggunakan kayu api.
Keadaan menjadi semakin meruncing apabila pada awal tahun lebih 1,000 dapur meletup di serata negara, menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan mencederakan beratus lagi.
Puncanya ialah kerana pihak pembekal gas dalam usaha untuk mengurangkan kos telah menambahkan nisbah gas propana dalam tong gas, justeru meningkatkan tekanan ke tahap berbahaya.
Sekarang, bekalan gas memasak di Sri Lanka amat mahal dan tidak lagi mampu dibeli oleh sebahagian besar penduduk, lapor berita Sri Lanka Sunday Island Online.
Berikutan itu, sesetengah suri rumah cuba bertukar kepada minyak tanah, tetapi kerajaan pula tidak mempunyai wang untuk mengimport minyak itu, seperti mana petrol dan diesel yang juga sangat berkurangan.
Dalam pada itu, lebih memeningkan rakyat yang membeli periuk elektrik apabila kerajaan tiba-tiba mengarahkan potongan bekalan elektrik dari semasa ke semasa kerana negara tidak lagi mampu untuk mengimport bahan bakar untuk jana kuasa.
Bagi ramai penduduk mereka tidak mempunyai pilihan selain memasak menggunakan kayu api walaupun harga kayu api pun telah melambung tinggi.
Pada satu masa dahulu, Sri Lanka sebuah negara pendapatan sederhana, dengan KDNK setanding dengan Filipina dan taraf hidup lebih tinggi daripada India.
Bagaimanapun, kelemahan kerajaan menguruskan ekonomi dan apabila industri pelancongan terjejas teruk disebabkan oleh pandemik Covid-19, negara itu kini kehabisan wang yang diperlukan untuk membiayai sebahagian besar import barang keperluan.
Masalah akan berterusan buat beberapa lama lagi, dan Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe memberitahu parlimen pada Selasa bahasa krisis akan berlarutan sehingga 2023.
-BTS Media