BTS Media

Air terkumpul di Gunung Inas cetus banjir di Baling, empangan projek durian masih utuh, kata MB Kedah

https://youtu.be/pNd7Bfg9LnY

TAKUNGAN air terkumpul di Gunung Inas, Baling yang mengalir turun deras di sudut cerun curam, dipercayai antara punca berlaku banjir dan lonjakan air yang melanda beberapa kampung di daerah itu pada Isnin lepas (4 Julai).

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata kesimpulan itu dibuat berdasarkan tinjauan udara yang dijalankan bersama polis di kawasan pergunungan itu pada Rabu (6 Julai) yang juga mendapati tiada takungan air pecah seperti didakwa berlaku hingga mencetuskan banjir.

Beliau berkata beliau telah meninjau kawasan berkenaan dari udara menggunakan helikopter dan dapat melihat laluan aliran air dari Gunung Inas ke kawasan bencana dan Pekan Kupang.

Menurut beliau dalam satu kenyataan hari ini (Khamis 7 Jul), air terkumpul begitu banyak pada satu masa dan mengalir ke bawah melalui berpuluh laluan yang terbentuk di Gunung Inas hingga ke satu bahagian curam, justeru menyebabkan air mengalir deras di Lata Celak.

Beliau berkata, empangan yang dibina di atas gunung itu untuk projek dusun Musang King juga masih utuh.

Muhammad Sanusi berkata pokok-pokok besar di sepanjang aliran air di gunung itu juga masih ada kerana ia tidak ditebang untuk projek ladang durian Musang King.

Bencana banjir di Baling meragut tiga nyawa, manakala lebih 1,400 penduduk terpaksa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara. Tujuh rumah musnah sepenuhnya dan kira-kira 70 rumah lain mengalami kerosakan.

-BTS Media

Leave a Comment