Oleh Yusoff A. Shariff
KENAIKAN terbaharu dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia telah menimbulkan kebimbangan, terutamanya dalam kalangan mereka yang menanggung pelbagai pinjaman.
Ia dikatakan bakal memberi kesan kepada bajet daripada gaji diterima untuk mengimbangi pembayaran balik pinjaman perumahan dan kenderaan yang semakin tinggi setiap bulan.
Ada dalam kalangan rakyat melahirkan kebimbangan bahawa ia juga akan menambahkan lagi kenaikan harga barangan keperluan berdasarkan tanggapan bahawa OPR naik, tetapi gaji yang diterima masih sama.
BNM semalam (Rabu 6 Jul) telah menaikkan OPR yang merupakan penanda aras pinjaman dan tabungan sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus, seperti yang dijangkakan oleh ramai pakar ekonomi.
OPR mempengaruhi kadar pinjaman yang dikenakan oleh bank kepada peminjam. Ia juga membantu menetapkan kadar penjimatan.
Menurut BNM, OPR lebih tinggi mencerminkan ekonomi yang lebih kukuh kerana proses pemulihan daripada Covid-19 sedang berjalan dengan baik.
Bagaimana pun, keadaan dirasakan berbeza walaupun kerajaan menggesa rakyat supaya berjimat dan menguruskan perbelanjaan dengan lebih bijak.
Hakikatnya, teori dan gesaan itu tidak semestinya selari memandangkan tidak kurang ramai dalam kalangan rakyat terpaksa mengikat perut demi untuk mengimbangi kewajipan membayar komitmen bulanan.
Ada juga yang bertanya apa lagi subsidi yang akan diberikan untuk menampung perbezaan sekarang.
Paling terkesan ialah golongan rakyat B40 yang akan mendapati harga barang menjadi terlalu tinggi untuk kemampuan mereka.
Kadar pinjaman kenderaan mungkin akan menyaksikan sedikit kenaikan, namun ramai peminjam tidak akan terasa kerana pinjaman tersebut adalah berdasarkan kadar sewa beli.
Kadar inflasi akan meningkat lebih tinggi, dan bergantung sama ada seseorang itu tergolong dalam kategori B40, M40 atau 10 peratus teratas untuk merasakan kesan sebenar.
-BTS Media