BTS Media

Ahli Parlimen Masjid Tanah nafi dakwaan guna dana UMNO untuk peribadi

AHLI Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin menafikan dakwaan bahawa dirinya telah menggunakan dana sayap parti UMNO untuk kepentingan peribadi.

Beliau menegaskan dana yang dimaksudkan telah diagihkan seperti yang ditetapkan oleh parti lamanya UMNO.

“Ini melalui Ketua Puteri Negeri-Negeri dan Ketua Puteri Bahagian-Bahagian seluruh Malaysia ketika itu bagi menjalankan program dan aktiviti serta tujuan persediaan dan gerak kerja menghadapi pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas namanya bersama dua Ahli Parlimen lain dipetik dalam keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Mas Ermieyati, beliau keluar UMNO secara rasmi pada 1 Julai 2018 selepas memikirkan hanya mampu berkhidmat kepada rakyat Masjid Tanah dengan lebih baik sekiranya bersama dengan kerajaan semasa.

Beliau berkata dakwaan terhadapnya itu disifatkan sebagai tidak berasas yang secara tidak langsung mendatangkan persepsi buruk di mata masyarakat dan pengundi-pengundi di kawasannya.

Katanya lagi, tuduhan sama juga telah dijawab sebelum ini iaitu ketika berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRM) Melaka tempoh hari, selain dalam satu kes yang telah ditarik balik oleh pucuk pimpinan parti UMNO.

“Namun begitu, ia dibuat di dalam kandang saksi semasa memberikan keterangan bersumpah di dalam Mahkamah.

“Justeru saya perlu mengkaji dengan lebih teliti jika perkara ini perlu ditangani dengan lebih serius dan tegas selepas daripada ini,” katanya.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi pada Selasa bahawa tiga ahli Parlimen (UMNO) lompat parti kerana takut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

Leave a Comment