BTS Media

Selepas pelanggan ‘ditipu’ jutaan ringgit, bank jangan diam sahaja, kata Ahli Parlimen

GAMBAR ATAS: FMT.

 

AHLI Parlimen Klang Charles Santiago, ketika bercakap dalam sidang media dianjurkan mangsa penipuan, berkata sejak enam bulan aduan dibuat kepada bank, polis dan Bank Negara Malaysia (BNM), namun tiada maklum balas diterima, setakat ini.

“Sikap senyap dan memekakkan telinga mengundang lebih banyak persoalan daripada mangsa,” katanya.

‘Kami menuntut pihak bank mengembalikan semula wang yang hilang milik semua mangsa, disusuli pampasan terhadap tekanan emosi yang dilalui selepas kehilangan semua wang simpanan mereka,” katanya.

Beliau juga mendesak BNM memandang berat perkara berkenaan susulan badan itu menjadi penyelia sistem perbankan negara.

“Kami tahu bagaimana transaksi dilakukan tanpa pengetahuan pemegang akaun. Ini jelas menunjukkan tiada semak dan imbang dilaksanakan,” katanya sambil menambah mangsa juga akan mengambil tindakan perundangan terhadap bank terbabit.

Seorang daripada mangsa, warga emas yang menjadi pelanggan bank itu, sejak 1968, berkata beliau kehilangan RM1.3 juta simpanan tunai, dan RM3 juta dalam bentuk pelaburan dalam forex dan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

Katanya, bila mana beliau mengunjungi bank itu menanyakan berhubung faedah ASNB, beliau diberitahu pegawai bank berkenaan bahawa bayaran itu belum dipindahkan ke dalam akaunnya, dan memaklumkan supaya datang pada hari lain.

Beliau hanya mengetahui menjadi mangsa penipuan, pada Jan, apabila diberitahu oleh seorang pegawai lain bank bahawa simpanan sudah tiada.

“Saya sangat terkejut kerana tidak pernah menyentuh simpanan itu sama sekali. Saya segera membuat laporan kepada bank, polis dan BNM,” katanya.

Seorang lagi mangsa, yang juga pesara, kehilangan RM1.16 juta simpanan susulan tindakan pegawai bank itu didakwa mengambil simpanannya secara berkala dan memindahkannya ke pihak lain tanpa pengetahuan.

Katanya, beliau mendakwa ternampak pegawai bank itu beberapa kali dan tertanya-tanya mengapa tiada tindakan diambil terhadapnya sehingga kini.

Baca lagi:

Leave a Comment