MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) akan terus berperanan sebagai badan penasihat kepada kerajaan, terutama ketika negara berdepan isu membabitkan kesejahteraan dan keselesaan rakyat.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya akan sentiasa memberi pandangan dan buah fikiran, namun ia terserah kepada kerajaan sama ada untuk menerima cadangan itu atau sebaliknya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, baru-baru ini, pihak MPN telah berbincang bersama tokoh dan pakar ekonomi tentang inflasi dan kenaikan harga makanan global serta jaminan keselamatan makanan untuk jangka masa pendek dan panjang.
“Susulan itu, MPN mencadangkan kepada kerajaan agar mempunyai strategi jangka pendek untuk mengeluarkan hasil bahan asas seperti makanan, ternakan dan lain-lain dengan menggunakan cara yang tersusun.
“Begitu juga dengan jangka panjang, semua perlu bersedia, kita sudah memberi idea,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis meraikan bakal haji dan penyerahan lembu korban Parlimen Pagoh di sini pada Jumaat.
Beliau mengulas keluhan rakyat berhubung isu kenaikan harga barangan sejak kebelakangan ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU menyambut baik bantuan tunai tambahan di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) iaitu RM100 untuk isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang yang diumumkan kerajaan pada Rabu lalu.
-BTS Media