BTS Media

Orang luar hargai bakat Mubarak Majid

GAMBAR ATAS: Sudah lama Mubarak Majid bergiat dalam seni, baru sekarang mendapat anugerah.

 

Oleh Khadijah Ibrahim

DALAM tempoh empat dekad bergelar anak seni, pelakon Mubarak Majid, 64, belum pernah mendapat anugerah atau penghargaan tertinggi dalam kerjaya.

Mubarak yang telah membintangi lebih 100 drama dan filem itu, memperoleh kemenangan pertamanya menerusi filem pendek Coofie & Sexy Dress di Motion Horse International Film Festival (MHIFF) 2022 yang diadakan di India baru-baru ini.

Dia terpilih sebagai Pelakon Lelaki Terbaik untuk filem terbitan Buffalo Orange Pictures Sdn. Bhd., dan kejayaan itu merupakan satu kejutan buatnya.

Katanya, walaupun sudah lama berkecimpung dalam bidang seni tanah air, setakat ini namanya hanya tersenarai dalam Top 5 pencalonan anugerah seperti Anugerah Seri Angkasa dan Anugerah Skrin.

“Saya baru diberitahu berkenaan kemenangan ini oleh produksi dan setakat ini belum dapat sijil yang akan diberikan dalam bentuk digital selepas ini.

“Ia sesuatu yang amat membanggakan kerana dah lama saya dalam bidang ini, sekurang-kurangnya ada juga penghargaan walaupun bukan diperolehi dalam negara sendiri.

“Saya tak sedih dan tak nak kata apa jika dianggap tak dihargai di negara sendiri kerana itu bukan matlamat saya. Setiap kali diberi tanggungjawab, saya akan buat yang terbaik dan penghargaan itu datang daripada penilaian pihak mereka. Saya tak ada perasaan kecil hati kerana dah buat kerja saya,” katanya.

Bercerita berkenaan wataknya, Mubarak berkata, dia memegang watak sebagai bapa kepada seorang model.

Filem arahan Jaemin Park ini sering sertai festival filem luar negara.

“Ia mengisahkan kehidupan keluarga yang susah di mana isterinya jatuh sakit dan anak perempuannya kemudian membantu mencari wang dengan bekerja sebagai model.

“Namun, bapanya salah sangka dan menganggap anaknya buat kerja yang tak elok. Bapanya tak tahu rupa-rupanya dia tolong bapanya cari wang untuk biaya perubatan emaknya. Itu yang tajuknya ada perkataan Sexy Dress,” katanya yang ditemui di Majlis Konvokesyen Badan Peneraju Seni Budaya anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) pada 23 Jun.

Pada majlis terbabit Mubarak serta beberapa selebriti tempatan iaitu Datuk Syafinaz Selamat, Jaclyn Victor, Amran Nasaruddin dan Zuhairi Ibrahim menerima pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia Badan Peneraju Seni Budaya yang disempurnakan oleh Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Turut hadir ialah Timbalannya, Datuk Seri Dr. Santhara J.P, Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop, serta barisan Pengurusan Tertinggi MOTAC dan JKKN.

Pada majlis yang sama, seramai 333 orang graduan diraikan iaitu 142 orang dalam bidang Tarian Tradisional, 41 orang bidang Seni Lakon Teater, 54 orang bidang Muzik, 40 orang Pengurusan Pentas, 56 orang melalui Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional.

Majlis konvokesyen tersebut bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada Penggiat Seni Budaya yang berkemahiran, berpengetahuan dan berkualiti melalui program Persijilan Kemahiran Malaysia Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bidang seni budaya (tari, teater, muzik dan pengurusan pentas).

Mubarak Majid antara artis yang menerima pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia Badan Peneraju Seni Budaya, baru-baru ini.

Nancy berkata, MOTAC melalui JKKN amat menghargai bakat, kemahiran dan kualiti para Penggiat Seni Budaya Malaysia.

“Melalui program sebegini diharap ia akan mendorong lebih ramai lagi penggiat seni untuk berkarya dan berkongsi ilmu pengetahuan serta kemahiran yang mereka ada kepada masyarakat,” katanya.

JKKN merupakan Badan Peneraju Industri (Industry Lead Body – ILB) Seni Budaya yang dilantik oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2018 dan bertanggungjawab dalam memperkasakan bidang kemahiran seni budaya.

Majlis Konvokesyen ini bertujuan bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada Penggiat Seni Budaya yang berkemahiran, berpengetahuan dan berkualiti melalui program Persijilan Kemahiran Malaysia Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bidang seni budaya (tari, teater, muzik dan pengurusan pentas).

– BTS Media

Leave a Comment