Urusan penghantaran jenazah pengasas kosmetik Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad yang terkorban dalam kemalangan pada 18 Mei 2019 tidak melalui Kedutaan Malaysia di Bangkok dan Konsul Malaysia di Songkhla, dakwa keluarga.
Peguam bela dan peguam cara, Azhar Ahmad, berkata perkara itu disahkan seorang pegawai di Wisma Putra, Putrajaya.
“Jenazah Faziani tiba terlalu cepat ke Malaysia melalui pintu sempadan Sungai Golok-Rantau Panjang jam 4 petang hari sama kemalangan pada 18 Mei 2019.
“Urusan penghantaran jenazah arwah didakwa tidak mengikut prosedur ditetapkan oleh undang-undang iaitu dipercayai tidak mempunyai surat kebenaran daripada perwakilan Malaysia di negara yang berlaku kematian,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Katanya, tempoh jenazah yang pulang disifatkan sangat cepat, berbanding beberapa hari diperlukan pada kebiasaan kerana perlu melalui beberapa prosedur di Thailand.
Susulan itu abang sulung Faziani, Mohd Faisal Rohban Ahmad, 48, menerusi Tetuan Shaharuddin Hidayu dan Marwaliz, membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Lundang, Kota Bharu, 3.00 petang semalam.
Sementara itu, Faisal berkata laporan tersebut dibuat bagi mendapatkan keadilan terhadap kematian Faziani.
“Keluarga sememangnya bersyukur apabila jenazah dapat dibawa pulang awal, namun kami mengesyaki berlaku salah guna kuasa atau unsur rasuah dalam urusan penghantarannya.
“Laporan baharu dibuat sekarang kerana kekangan keadaan Covid-19 dalam negara dan kami keluarga memohon pihak berkuasa menyiasat perkara ini,” katanya.
Faziani, 40, meninggal dunia manakala suaminya Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 45, cedera apabila Toyota Estima dinaiki mereka terlibat kemalangan di Pattani, Thailand, pada 10.30 pagi.
Khamis lalu, keluarganya membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut dilakukan terhadap kematian Faziani yang didakwa mencurigakan.