Oleh Fetty Rara
Aplikasi dompet e-wallet Touch ‘n Go hari ini (Jumaat 17 Jun) mengalami gangguan, justeru menghalang pengguna mengakses e-dompet, menu RFID dan kemudahan PayDirect.
Pengguna yang cuba menggunakan ciri tersebut mendapat notis “connection timed out” atau mesej ralat lain.
Pengguna lebuh raya bertol disyorkan supaya menggunakan kad TnG mereka, dan ini telah mencetuskan kemarahan orang ramai yang meluahkan rasa marah melalui media sosial kerana mereka tidak dapat menggunakan PayDirect atau RFID di laluan tol.
Ramai juga yang tidak menyedari keadaan itu, justeru gagal melepasi laluan tol.
Dalam catatan Facebook, syarikat pengendali aplikasi tersebut berkata mereka sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah ini, dan akan memaklumkan pengguna apabila sistem kembali pulih.
Aplikasi tersebut didapati pulih lewat petang ini.
Sejak beberapa bulan kebelakangan aplikasi Touch ‘n Go eWallet menerima pelbagai kecaman dan kritikan. Awal bulan lepas aplikasi tersebut dilaporkan telah dinyahsenarai daripada Apple App Store selama beberapa hari sebelum muncul semula dengan tiba-tiba.
Menurut portal lowyat.net, penjelasan yang diberikan oleh syarikat itu sekadar merupakan jawapan kepada beberapa pengguna terpilih menerusi media sosial bahawa mereka “sedang berbincang dengan pihak Apple”.
Juga, sebelum ini orang ramai melahirkan rasa tidak puas hati dan menganggap syarikat TNG sengaja “memaksa” pengguna menggunakan kaedah RFID untuk membayar tol sebagai menggantikan kad SmartTag.
Bagaimana pun, apabila keadaan menjadi semakin panas, kerajaan telah masuk campur dan meminta TNG supaya mengekalkan penggunaan kad SmartTag selain RFID untuk pembayaran tol.
Kemudian timbul satu lagi masalah apabila syarikat tersebut memperkenalkan kad berciri NFC yang memudahkan pengisian semula kredit menggunakan NFC.
Tetapi, malang lagi bagi ribuan pengguna kerana hasrat untuk mendapatkan kad NFC gagal kerana setiap kali pesanan buat mereka akan mendapat mesej bahawa stok habis.
-BTS Media