BTS Media

Kod Etika kekang ‘penunggang agama’ iklan produk diterima baik

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menguatkuasakan kod etika baharu bagi mengekang penggunaan agama pada iklan dan mempromosi produk disambut baik oleh beberapa pihak.

Sebuah badan dasar kesihatan dan sosial berkata isu yang telah lama berleluasa itu sepatutnya telah lama ditangani memandangkan begitu banyak produk yang menggunakan agama untuk melariskan penjualan di atas kejahilan orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata terdapat produk yang secara terang mengambil kesempatan kejahilan segelintir orang ramai dengan menggunakan dakwaan keagamaan dalam membuat keputusan berkaitan kesihatan mereka dan keluarga.

“Ramai orang yang hidup dengan penyakit serius dan kronik seperti kanser dan kencing manis yang memerlukan rawatan perubatan betul. Sebaliknya mereka ‘digoda’ dengan dakwaan yang tidak berasas dan tidak terbukti kebenarannya,” katanya kepada FMT.

Pada Rabu, Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mediha Mahmood berkata, Kod Kandungan 2022 bertujuan menghalang pengiklan dan pemilik produk menggunakan elemen keagamaan bagi menarik pelanggan.

Beliau berkata kod yang akan dikuatkuasakan pada hujung tahun ini itu melarang penggunaan elemen keagamaan bagi tujuan berkenaan, dan membabitkan semua agama.

Halang jual produk mendakwa boleh menyembuhkan penyakit kanser atau kencing manis dengan menggunakan kalimah keagamaan tertentu

Menurut Azrul tindakan melalui kod tersebut penting untuk menghalang penjualan produk yang mendakwa boleh menyembuhkan penyakit kanser atau kencing manis dengan menggunakan kalimah keagamaan tertentu.

Beliau berkata produk seperti itu membahayakan dan mengganggu proses rawatan dan penjagaan yang sepatutnya.

Sementara itu, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam) berkata, pengguna Muslim pasti mendapat manfaat daripada penguatkuasaan sebegitu memandangkan media sosial digunakan secara meluas dalam usaha menyebarkan dakwaan salah dan mengelirukan orang ramai.

-BTS Media

Leave a Comment