GAMBAR ATAS: Aziz A. Shariff
Oleh Zainal AS Rashid
Pelonggaran SOP mulai esok (1 Mei) disambut baik, namun pemilik perniagaan berpendapat sesetengah aspek peraturan perlu diperhalusi bagi mengelakkan kekeliruan.
Dengan pemansuhan beberapa peraturan ini orang ramai tidak lagi perlu mengimbas kod QR pada aplikasi MySejahtera ketika memasuki premis.
Bagaimanapun, fungsi MySJ Trace perlu diaktifkan bagi tujuan pengesanan kontak, manakala pemilik premis pula dikehendaki menyemak status risiko Covid-19 pada MySejahtera telefon pelanggan.
Namun demikian, pemilik premis menganggap pendekatan baharu itu tidak praktikal dibebankan kepada mereka.
Ini kerana agak sukar untuk menjelaskan kepada sesetengah pelanggan bahawa mereka tidak perlu mengimbas MySejahtera, tetapi masih perlu menunjukkan telefon bagi penyemakan status.
Persoalannya ialah sama ada orang ramai akan akur dengan peraturan baharu itu semua, walaupun ia tanggungjawab individu.
Pemilik premis juga merasakan tidak adil ke atas mereka dipertanggungjawabkan sebegitu kerana mereka bukannya penguat kuasa undang-undang, apatah lagi ketika sektor tersebut berdepan dengan masalah kekurangan pekerja.
Sebaliknya ia lebih sesuai dilakukan secara rawak oleh pihak agensi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan.
Ada juga yang berkata kakitangan runcit atau restoran hanya perlu menyemak status MySejahtera pelanggan mereka sekiranya individu berkenaan menunjukkan gejala, seperti demam, selesema dan batuk-batuk.
Kesulitan juga dikhuatiri dalam sektor perhotelan yang dianggap sebagai tempat berisiko tinggi berlaku penularan Covid-19.
Bagi hotel, ada yang mencadangkan supaya daftar masuk menggunakan imbasan kod QR MySejahtera diteruskan bagi melindungi tetamu dan pekerja, justeru menjejaskan operasi hotel.
-BTS Media