BTS Media

Pawagam tarik balik filem kisah anak perempuan Nabi Muhammad berikutan bantahan umat Islam UK

GAMBAR ATAS: Cineworld.

 

Oleh Zainal AS Rashid

Rangkaian pawagam Cineworld United Kingdom telah menarik balik dan membatalkan tayangan filem yang mengisahkan tentang anak perempuan Nabi Muhammad SAW berikutan bantahan keras oleh masyarakat Islam negara itu.

Bantahan dan kecaman disuarakan kerana jalan cerita filem tersebut dikatakan menyimpang daripada fakta sejarah agama Islam sebenar.

Di bandar raya Bradford, Bolton, Birmingham dan Sheffield beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di depan pawagam itu sambil mengecam tindakan untuk menayangkan filem “The Lady of Heaven”.

Filem tersebut dijadualkan tayangannya di UK sempena cuti hujung minggu sambutan perayaan Jubilee Ratu Elizabeth.

Penunjuk perasaan di depan sebuah pawagam Cineworld di UK/Gambar: Daily Mail.

Cineworld telah menarik balik tayangan filem berkenaan daripada semua pawagam milik syarikat itu, tetapi rangkaian pawagam Vue masih menyenaraikannya di beberapa pawagam sekitar London untuk malam ini (Khamis 9 Jun), lapor akhbar Daily Mail.

Satu video yang dikongsi meluas dalam media sosial menunjukkan seorang pengurus pawagam Cineworld mengesahkan kepada penunjuk perasaan bahawa penayangan filem tersebut telah dibatalkan, sambil disambut dengan laungan “Allahu Akbar”.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan penerbit eksekutif filem ‘The Lady of Heaven’, Malik Shlibak menyifatkan keputusan pihak Cineworld sebagai tidak boleh diterima, dan menuduh rangkaian pawagam itu ‘tunduk kepada ekstremis radikal’.

Filem berharga £12 juta (RM66 juta) itu diterbitkan di Britain. Ia bermula dengan paparan serangan pihak ISIS di Iraq dan menunjukkan adegan di mana seorang anggota kumpulan itu melakukan pembunuhan kejam, sebelum seterusnya mengisahkan tentang anak perempuan Rasulullah, Siti Fatimah az-Zahra.

Pengarah filem itu, Eli King menjelaskan bahawa watak Siti Fatimah dalam filem tersebut dipaparkan tanpa wajah, kerana dilindungi niqab penuh.

Bagaimana pun, yang dibantahi dan dikecam ialah pemaparan tersasar daripada rentetan fakta sejarah Islam, selain menonjolkan tiga tokoh penting agama Islam secara tidak betul.

-BTS Media

Leave a Comment