BTS Media

Kerajaan Terengganu pandang serius dakwaan keracunan makanan di Pulau Perhentian

GAMBAR ATAS: Pulau Perhentian Kecil/ Foto: BTS Media.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Kerajaan Terengganu memandang serius dakwaan enam individu mengalami keracunan di Pulau Perhentian Kecil di Besut, yang dipercayai akibat pencemaran kumbahan tidak dirawat, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata jabatan berkenaan telah diarah mengambil contoh air serta menjalankan pemantauan segera berhubung perkara tersebut.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara itu, terutama berkaitan keselamatan pelancong dan sekiranya dakwaan itu didapati benar, ia sudah tentu memberi imej negatif kepada industri pelancongan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin (6 Jun).

Secara tidak langsung katanya, ia akan menjejaskan keyakinan pelancong untuk mengunjungi pulau-pulau peranginan di Terengganu.

Bagaimanapun, Ariffin berkata setakat ini jabatan kesihatan negeri dan pejabat kesihatan daerah Besut tidak menerima sebarang laporan berhubung kes itu.

Beliau berkata, hasil semakan data kejadian keracunan makanan dari 2021 hingga Ahad (5 Jun), juga mendapati tiada laporan kes keracunan makanan berlaku di Pulau Perhentian.

Pada Sabtu (4 Jun), sebuah portal berita melaporkan enam individu mendakwa mereka mengalami keracunan makanan selepas berenang di perairan yang dikatakan tercemar dengan kumbahan tidak dirawat di Pulau Perhentian Kecil.

Kesemua mereka yang bercuti di pulau tersebut mendakwa mengalami muntah-muntah.

-BTS Media

Leave a Comment