BTS Media

Mahu kembali jadi PM: Cubaan calar nama Muhyiddin?

 

Oleh Ahmad Abd Hamid

Dari manakah sebenarnya sumber berita, atau siapa yang menjadi pereka cipta cerita bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muyhiddin Yassin mendakwa beliau mempunyai sokongan 119 ahli parlimen untuk kembali menjadi perdana menteri?

Cuma perkara ini ada disebut oleh presiden Warisan, Shafie Afdal. Bekas Ketua menteri Sabah itu mendakwa Muhyiddin pernah menghubunginya dan mendakwa beliau (Muhyiddin) mempunyai sokongan 119 ahli parlimen.

Adakah Shafie sememangnya pembawa asal cerita ini atau beliau mengutip daripada orang lain? Untuk rekod, sebanyak 111 sokongan ahli parlimen diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah.

Yang jelas, Muhyiddin sudah menafikan beliau ada berkata demikian. Tuan badan sudah menafikan. Beliau menjelaskan, tidak pernah berjumpa mana-mana ahli politik dan memberitahu kononnya mempunyai majoriti untuk kembali sebagai perdana menteri.

Cuma Muhyiddin mengesahkan ada bertemu parti pemimpin parti bukan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. Tujuannya untuk berbincang mengenai pendekatan bersama yang boleh diambil menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Usaha ini penting dengan mengambil pengajaran daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.  Barisan Nasional dilihat menang bukan kerana benar-benar kuat. Sebaliknya kerana banyak parti bersaing sama sendiri mengakibatkan undi pecah dan memihak kepada BN.

Justeru, menurut Muhyiddin, pada PRU-15 keadaan ini tidak harus dibenarkan berulang. Perlu ada perbincangan dan kerjasama bagi mengelakkan golongan kleptokrat kembali berkuasa. Walau pun mungkin ada perbezaan pendirian bagi setiap parti, usaha mesti diteruskan bagi membolehkan kerjasama dibentuk akhirnya.

Disebarkan oleh musuh politik, sama ada secara peribadi atau parti tertentu, yang mahu mencalarkan nama Muhyiddin

Namun, lain pula cerita yang terjadi. Muhyiddin digambarkan sebagai mahu merebut jawatan perdana menteri daripada Ismail Sabri Yaakub. Nampak cerita ini disebarkan oleh musuh politik, sama ada secara peribadi atau parti tertentu, yang mahu mencalarkan nama Muhyiddin.

Muhyiddin dan Bersatu tetap memberi sokongan kepada Ismail Sabri memandangkan Bersatu dan UMNO sama-sama mendukung kerajaan. Beliau tentu tidak mahu menggoncang kerajaan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya memastikan ia terus kukuh mentadbir.

Jika pun Muhyiddin berhasrat menjadi perdana menteri semula, tentunya ia akan melalui saluran sewajarnya, iaitu mengharungi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Ini adalah isu lain. Apa pun segalanya belum pasti. Tarikh pilihan raya pun entah bila.

Namun memang biasa cerita ‘juicy’, sahih atau tidak, seronok untuk dijaja dan dalam proses itu cuba meyakinkan orang ramai mempercayainya. Yang tidak menyelidiki dan mengetahui latar belakang akan segera menerpa memberi pelbagai reaksi.

Memang sudah pun timbul pelbagai reaksi mempelekeh Muhyiddin, termasuk oleh kelompok yang mendesak diadakan segera PRU-15. Bagai tidak sabar mereka mahu parlimen dibubarkan tanpa alasan logik, lebih kepada kepentingan sendiri.

Ketika kerajaan PN memberi tumpuan kepada negara dan rakyat, kelompok ini sibuk mendesak diadakan PRU atas sebab yang hanya mereka tahu. Malah sebenarnya masyarakat umum boleh mentafsir kenapa mereka begitu mendesak disegerakan PRU. Kata peribahasa, sekilas ikan di air sudah tahu jantan betina.

Lalu, apakah strategi terbaik untuk memikat hati rakyat selain daripada menjaja cerita orang lain bagi menerapkan dalam minda rakyat keburukan individu tertentu. Dengan cara itu, peluang untuk si pembuat tohmahan dirasakan lebih terbuka dan partinya ‘boleh’ menang.

Ini sikap orang pengecut bermain di padang rata; mereka memilih cara merosakkan padang sebelum berdepan dengan lawan. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

-BTS Media

Leave a Comment