BTS Media

Pesara tentera hidup daif, mana diletakkan jasa mereka?

 

Oleh Fetty Rara

Hidup semakin susah bagi seorang bekas tentera yang berdepan dengan kerumitan proses memperbaharui Skim Bantuan Sara Hidup Veteran Angkatan Tentara Malaysia (ATM).

Menurut anaknya, Mohd Ibrahim Kassim Bakry, 62, wang bantuan sebanyak RM300 sebulan dimasukkan ke akaun simpanan ayahnya, Kassim Bakry Arshad, 85, dari 2012 hingga 2019.

Bagaimanapun, bantuan tersebut tidak lagi diterima sejak Jun 2019, kerana dimaklumkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM bahawa skim itu perlu diperbaharui.

Beliau berkata setelah pergi ke JHEV ATM di Kuala Lumpur pada September 2019 untuk mengisi borang, dia diberitahu bahawa seorang penyiasat akan berkunjung ke rumahnya bagi tujuan mengesahkan permohonan tersebut.

“Saya terkejut kerana pegawai penyiasat datang berjumpa dengan adik saya yang sedang berniaga, bukan ayah saya yang terlantar sakit akibat strok ringan,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Labu Lanjut, Salak Tinggi, Sepang pada Ahad.

Di mana penghargaan tentera yang berhak menerima bantuan setelah bersara?

Susulan itu, Mohd Ibrahim berkata beliau membuat permohonan kali kedua pada September 2021 setelah merasakan bahawa keputusan sebelum itu tidak patut.

Namun, seperti sebelumnya dia sekali lagi menerima keputusan mengecewakan di atas alasan yang sama selepas pegawai penyiasat JHEV AT datang ke rumahnya.

Mohd Ibrahim kemudian pergi ke pejabat JHEV ATMN di Kuala Lumpur pada Disember 2021 untuk mengadu kepada salah seorang pegawai atasan.

“Sudahlah jaraknya bukan dekat dari rumah, tapi setibanya saya di sana, kerani di pejabat tersebut memaklumkan pegawai tersebut tidak ada di pejabat kerana menghadiri acara di Ipoh, Perak.

Dia kecewa kerana tidak diberitahu lebih awal atau diminta tidak perlu hadir pada hari itu.

Berikutan apa yang dilaluinya, Mohd Ibrahim berharap agar Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Tun Hussein atau Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad mengambil maklum cara pegawai-pegawai menguruskan proses permohonan skim bantuan.

Dia mengaku mampu membantu ayahnya, tetapi dalam hal ni persoalannya di mana diletakkan jasa anggota tentera yang berhak menerima bantuan setelah bersara?

-BTS Media

Leave a Comment