BTS Media

Tunjuk siapa bos, Ramasamy beritahu Ismail Sabri

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak seharusnya tunduk kepada tekanan daripada pemimpin UMNO yang menggesa supaya pilihan raya umum diadakan awal (PRU15).

Ini perlu jika beliau mahu dihormati rakyat dan meningkatkan peluang untuk terus menjadi perdana menteri, kata P Ramasamy dari DAP.

Beliau berkata setakat ini Ismail masih boleh menahan desakan daripada pemimpin UMNO yang menghadapi tindakan mahkamah dan penyokong mereka, namun tekanan semakin meningkat.

Menurut Ramasamy, dengan mengabaikan tekanan itu sokongan rakyat kepada beliau mungkin bertambah.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu 4 Jun) beliau berkata cabarannya adalah sama ada beliau mampu atau tidak menolak desakan kumpulan ahli politik yang mementingkan diri sendiri itu.

Mungkin sukar, tetapi Ismail tidak mempunyai pilihan jika dia mahu dikira sebagai perdana menteri yang baik dan bertanggungjawab

Ramasamy berkata ia mungkin sukar, tetapi Ismail tidak mempunyai pilihan jika dia mahu dikira sebagai perdana menteri yang baik dan bertanggungjawab.

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata dengan cara menahan tekanan daripada pemimpin UMNO, Ismail mungkin dapat membolehkan mahkamah menyelesaikan kes mereka sebelum PRU15.

Justeru, Ismail bukan sahaja dapat mengukuhkan kedudukannya dalam UMNO, tetapi juga memastikan beliau mempunyai peluang untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

Bagi Ramasamy, Ismail mungkin dilihat tidak berkesan sebagai perdana menteri, tetapi beliau sememangnya pilihan yang lebih baik berbanding pemimpin UMNO tertentu yang korup.

Ramasamy berkata beliau juga bimbang sekiranya PRU15 lebih awal diadakan, kemungkinan besar negeri yang diperintah Pakatan Harapan, iaitu Pulau Pinang dan Selangor, serta Kelantan di bawah PAS, memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri secara serentak.

Ini bermakna akan berlaku beberapa pilihan raya di negara ini dalam masa terdekat, tambahnya.

Ramasamy berkata beliau tidak pasti sama ada Ismail menyedari sepenuhnya fakta ini dan implikasinya, namun memanggil PRU15 pada tahun depan selepas tamat penggal penuh adalah wajar bagi mengelak daripada mengadakan pilihan raya parlimen dan negeri pada masa yang berbeza.

-BTS Media

Leave a Comment