Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, menafikan lawatannya ke Dhaka, Bangladesh semalam disambut dengan tunjuk perasaan gerakan pekerja negara itu.
Beliau mendakwa kumpulan terbabit berhimpun untuk menyambut kedatangannya, bukan membantah lawatan kerja itu.
Saravanan pada sidang media hari ini mempertikaikan laporan FMT tentang himpunan “gerakan anti-sindiket” yang membantah cadangan Putrajaya untuk membenarkan 25 daripada 1,300 agensi di Bangladesh menghantar pekerja ke Malaysia.
Dalam laporan semalam, FMT memuatkan gambar peserta himpunan membawa sepanduk dan plakad tertera gambar Saravanan, sambil mengkritik cadangan Putrajaya itu.
Bagaimanapun, Saravanan berkata: “Saya baca (sepanduk tulis) ‘selamat datang menteri, kita (peserta himpunan) ucap selamat bersidang’. Adakah itu protes?”
Beliau mendakwa FMT membuat spekulasi tentang kejadian tersebut dan memintanya tidak menyebar “fitnah”, terutama terhadap ahli politik kerana “kami pun manusia juga.”
Gambar dalam laporan FMT itu antara lain memaparkan sepanduk bertulis, “Kami mengucapkan selamat bermesyuarat dengan menteri kami untuk membuka pasaran kerja Malaysia bagi semua agensi pengambilan pekerja Bangladesh yang sah, seperti 13 negara pembekal lain.”
Namun, turut terpampang sepanduk “Tidak pada 25 sindiket”, yang merujuk kepada 25 agensi yang dibenarkan untuk membekalkan pekerja.
Saravanan menegaskan tidak ada tunjuk perasaan menyambut beliau di Dhaka untuk mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama Malaysia-Bangladesh mengenai pengambilan pekerja.
Agensi pengambilan pekerja di Bangladesh dikatakan membantah permintaan Malaysia untuk mengehadkan bilangan syarikat yang boleh membekalkan pekerja.
Ini kerana ia didakwa akan menyebabkan pekerja mengeluarkan belanja sekitar RM18,000 supaya mereka dapat dihantar ke Malaysia untuk bekerja, iatu lebih sekali ganda daripada kos sepatutnya.