BTS Media

BERSATU berhak usul nama calon pengganti Zuraida

BERSATU berhak mengusulkan nama calon yang boleh menggantikan Zuraida Kamaruddin kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob susulan Ahli Parlimen Ampang itu menyatakan hasrat meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, isu berkenaan tidak patut dipolemikkan kerana pelantikan semua menteri adalah pencalonan daripada parti.

“Pelantikan Perdana Menteri itu pun dibuat berdasarkan sokongan parti. Kalau ada sesiapa nak katakan Perdana Menteri boleh buat apa saja sesuka hatinya, lebih baik jadi Perdana Menteri kepada parti bebas kerana dengan cara itu mereka tidak terikat dengan keputusan dalam parti mahu pun gabungannya.

“Tujuan kita ada gabungan ini adalah untuk memastikan supaya ada pembahagian dari segi tanggungjawab serta amanah yang boleh dipikul secara bersama demi menjaga kebajikan rakyat. Memang betul urusan ini hak prerogatif Perdana Menteri tetapi Perdana Menteri akan bertindak mengikut cadangan daripada parti.

“Cadangan nama tersebut akan diserahkan dalam masa terdekat oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya ketika program minum pagi bersama Persatuan Pemandu Teksi Pekan Changlun di sini, pada Jumaat.

Menurut Wan Saiful, Muhyiddin pastinya sudah ada memikirkan mengenai calon bagi menggantikan Zuraida.

“Saya pasti Muhyiddin ada calon yang difikirkan beliau. Isu Zuraida bukan isu baru dan tidak akan ambil masa yang lama dalam hal ini,” katanya.

Pada Khamis, Zuraida berhasrat meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas mengumumkan keluar daripada BERSATU untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida bagaimanapun menyatakan kekal menyokong kerajaan pimpinan Ismail Sabri selari dengan pendirian PBM.

Leave a Comment