ATAS: Kulit piring hitam Kamsiah M Ali dan M Osman bersama The Siglap Boys.
Oleh Ahmad Abd Hamid
Zaman kegemilangannya sudah berlalu, tetapi bagi peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan seninya, nama Kamsiah M. Ali, 78, tidak luput daripada ingatan sebagai antara penyanyi pop yeh-yeh popular pada akhir tahun 60-an dan awal 70-an.
Dengan beberapa buah lagu hits yang dirakamkan bersama kugiran The Siglap Boys dan The Clans, Singapura seperti Joget Burung Senja (duet dengan M. Osman), Pertanyaanku, Sayang Selintas, beliau mencipta nama. Ini meletakkan dirinya penyanyi pujaan ramai sebaris dengan Afida Es, Fatimah M. Amin, J Kamisah, Fatimah HS, Siti Zaitun, Sanisah Huri dan lain-lain.
Beliau yang berasal dari Air Kuning, Taiping, kemudian bergabung dengan Kugiran The Tornadoes, Taiping sebagai penyanyi dan merakamkan piring hitam lagu-lagu popular, termasuk lagu Batik Malaysia.
Ketika mengunjungi beliau di kediamannya di Air Kuning pada Aidilfitri baru-baru ini, Kamsiah yang masih sihat dan aktif memberitahu, era sebagai penyanyi hanya tinggal kenangan manis dalam kerjaya seninya.
Beliau yang kini menumpukan masa untuk keluarga dan melakukan aktiviti sendiri serta kemasyarakatan, bagaimana pun tidak melupakan terus bidang yang pernah menjulang namanya lebih lima dekad lalu.
Kerana itu, katanya, jika beliau menghadiri majlis tertentu, seperti majlis perkahwinan atau keramaian, dan diminta mendendangkan lagu, beliau akur memenuhi permintaan. Ini untuk tidak menghampakan peminat yang selama ini menyokong kerjaya seninya.
Bakat menyanyi Kamsiah mula terserlah ketika masih kanak-kanak. Pada waktu itu beliau sudah berpeluang menyanyi di majlis kenduri perkahwinan degan diberi sagu hati RM1 atau RM2. Ini menguatkan azamnya untuk menjadi penyanyi.
Beliau kemudian memberanikan diri menyertai Pertandingan Bintang Radio Kawasan Utara pada 1963 dan muncul juara. Yang menarik, ketika menyertai pertandingan itu beliau sudah pun hamil tiga bulan hasil perkahwinan dengan seorang pegawai Penjara Taiping, M. Ali, yang juga abang kepada pelopor penyanyi pop yeh-yeh, M. Osman, suami kepada Afida Es.
Sejak kemenangan itu, karier seni Kamsiah semakin bersinar. Beliau kerap diundang menyanyi pada pertunjukan pentas di sekitar Taiping dan tempat lain. Namun beliau tidak mengabaikan tugas sebagai suri rumah.
Kemuncak daripada kejayaan ini ialah apabila beliau merakamkan lagi ke piring hitam di Singapura pad 1966. Orang yang bertanggung jawab membawa beliau ke Singapura menjadi artis rakaman ialah M. Osman.
Lagu yang dirakamkan ialah ciptaan dan lirik oleh M. Osman sendiri, diiringi oleh kugiran The Siglap Boys dan The Clans. Antara lagu hits Kamsiah ialah ‘Sayang Selintas’, ‘Pertanyaanku’, ‘Joget Burung Senja’ (duet) dan ‘Dendang Seloka’.
Bagi Kamsiah, suaminya adalah pendorong dan tulang belakang yang memberi sokongan dan galakan kepadanya menempuhi cabaran dunia seni. Kerana itu pemergian suami pada 1987 umpama padamnya sebuah pelita dalam hidupnya.
Sejak itu Kamsiah mengurangkan kegiatan seninya. Beliau tidak aktif menyanyi, sebaliknya menumpukan perhatian membesarkan dua anak perempuan. Beliau tidak berkahwin sejak itu sehingga kini.
“Saya lebih senang menguruskan anak dan rumah serta melayan cucu. Ketika ada aruah suami dahulu pun kami lebih banyak menghabiskan masa di rumah,” kata beliau yang minat memasak.
Rutin harian beliau adalah untuk diri dan keluarga, juga masyarakat setempat. Kisah lalu tetap tersimpan dalam hati sebagai kenangan abadi.
-BTS Media