BTS Media

Syamsul Yusof angkat perjuangan pahlawan Mat Kilau

GAMBAR ATAS: Filem kisah perjuangan Mat Kilau bakal menemui penonton di pawagam pada 23 Jun ini.

 

Oleh Khadijah Ibrahim

Jarang sangat penerbit atau pengarah tempatan yang mahu menghasilkan filem biografi atau biopik.

Biopik adalah sebuah filem yang mendramatisasikan kehidupan orang atau tokoh dalam kehidupan sebenar.

Filem genre begini menampilkan kehidupan dari seorang tokoh sejarah dan menggunakan nama asli dari karakter utama.

Sering kali filem biopik mampu memberikan inspirasi bagi peminatnya. Susuk-susuk di dalamnya ibarat superhero di dunia nyata.

Namun bagi pengarah prolifik, Syamsul Yusof, dia mahu mengangkat perjuangan pahlawan Mat Kilau yang sering kita baca dalam buku sejarah di sekolah.

Semoga filem Mat Kilau dapat menyuntik semangat jati diri dalam kalangan generasi muda.

Meskipun Mat Kilau sudah lama meninggalkan dunia fana, namun jasanya tidak dapat dilupakan seperti pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Kongsi kehebatan dan jati diri pahlawan Mat Kilau menyelamatkan negara kepada generasi masa kini

Karya terbaharu yang diterbitkan oleh Studio Kembara ini bukan sekadar untuk mencetak rekod di dunia hiburan, tetapi juga mahu berkongsi kehebatan dan jati diri pahlawan Mat Kilau dalam menyelamatkan negara kepada generasi masa kini.

Aktor Datuk Adi Putra diberi tanggungjawab menghidupkan darah pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau. Pemegang watak utama itu turut dibantu oleh barisan pelakon yang bukan calang calang.

Ini termasuklah Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin) dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Penerbit filem tersebut, Shahruddin Dali berkata, filem yang menelan belanja RM8 juta itu menjalani penggambaran selama 100 hari dengan sebahagiannya dijalankan di Perak dan beberapa lokasi lain termasuk Pahang, Melaka dan Selangor.

Syamsul dan Fatah Amin yang memegang watak Awang sewaktu di set penggambaran.

“Sebagai penerbit kami berharap seluruh masyarakat Malaysia menonton filem ini dan terhibur.

“Filem arahan Syamsul Yusof ini akan membawa kita kembali ke zaman tersebut, merasai kepayahan, keberanian, pengorbanan dan jiwa kepahlawanan yang ada dalam memperjuangkan tanah air kita. Ini adalah sebuah sejarah yang sangat memberi inspirasi,” kata Shahruddin.

Tambahnya, poster rasmi filem Mat Kilau telah dipamerkan sejak 13 Mei 2022 di semua laman sosial. Manakala treler rasmi akan dipertontonkan 16 Jun ini untuk khalayak. Filem Mat Kilau akan menemui penonton di 90 pawagam seluruh negara bermula 23 Jun ini.

Filem ini mengisahkan seorang pahlawan Melayu Mat Kilau bersama ayahandanya Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya, bangkit menentang penjajahan British ini turut dikuatkan dengan barisan pelakon terbaik tanah air seperti Datuk Jalaluddin Hassan, (Haji Muhammad), Datuk Rahim Razali, (Imam Bottoqh) Namron, (Haji Sulong), Shaharuddin Thamby, (Datuk Bahaman) dan Ellie Suriaty, (Ibu Yassin).

Pengarah Syamsul Yusof dan Adi Putra pemegang watak Mat Kilau.

Mat Kilau dibikin dalam suasana 1892 sewaktu pihak kolonial British telah menduduki tanah-tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang-orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang Melayu.

Tidak membiarkan kebiadaban British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya bangkit menentang British.

Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan telah menyebabkan pihak British mengalami tekanan dan kerugian sehingga berlakunya pertempuran yang sengit.

Tontonlah filem aksi tanpa henti ini, yang menyaksikan pengorbanan, keberanian, dan kesatuan pahlawan-pahlawan Melayu untuk membebaskan tanah air tercinta.

Instagram Rasmi Filem Mat Kilau: filem_matkilau

Facebook rasmi Filem Mat Kilau: Filem Mat Kilau

Tik Tok Rasmi Mat Kilau: filem_matkilau

Twitter Rasmi Mat Kilau: filem_matkilau

 

-BTSMedia

Leave a Comment