BTS Media

Moscow akan bertindak balas jika NATO gerak aset nuklear menghampiri sempadan Rusia

GAMBAR ATAS: Kapal selam nuklear NATO (British), HMS Victorious/UK Ministry of Defence, OGL v1.0OGL v1.0, via Wikimedia Commons

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Moscow akan bertindak jika NATO mengerahkan tentera dan infrastruktur nuklearnya lebih dekat ke sempadan Rusia.

Menurut agensi berita Rusia, Interfax, Timbalan Menteri Luar Alexander Grushko berkata pada Sabtu bahawa negara itu perlu bertindak balas dengan mengambil langkah berjaga-jaga secukupnya.

Beliau dipetik berkata Moscow tidak mempunyai niat untuk bermusuhan dengan Finland dan Sweden, dan tidak nampak rasional bagi kedua-dua negara itu menyertai NATO.

Grushko mengulangi kenyataan Kremlin sebelum ini bahawa tindak balas Moscow bergantung pada sejauh mana pakatan tersebut menggerakkan aset senjata nuklearnya menghampiri sempadan Rusia.

Rancangan Finland untuk memohon keahlian NATO yang diumumkan pada Khamis, mungkin diikuti oleh Sweden.

Kremlin menganggap bahawa tindakan sedemikian akan membawa kepada perluasan penguasaan NATO yang ingin disekat oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin.

-BTS Media

Leave a Comment