GAMBAR ATAS: Mayat orang awam bergelimpangan di sebuah bandar di Ukraine akibat kekejaman tentera Rusia/Gambar: abcNEWS.
Oleh Yusoff A. Shariff
Isteri pelakon George Clooney mengecam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu kerana mengabaikan jenayah perang yang dilakukan oleh tentera Rusia di Ukraine.
Amal Clooney, yang juga peguam hak asasi manusia terkemuka berkata masyarakat dunia berhadapan dengan begitu banyak kejadian jenayah pencerobohan, jenayah perang, jenayah kemanusiaan, termasuk pembunuhan orang awam beramai-ramai, dan buktinya semakin meningkat setiap hari.
Beliau bertanya pada mesyuarat tidak rasmi Majlis Keselamatan PBB bagaimana masyarakat dunia boleh sampai ke tahap ini.
Menurut beliau pencabulan hak asasi manusia, pembunuhan, penyeksaan dan rogol begitu berleluasa ketika berlaku konflik.
Selain di Ukraine, beliau memetik keadaan di Yemen dan Myanmar di mana tentera terbukti membunuh orang awam, menculik kanak-kanak dan merogol wanita.
Banyak negara telah melakukan jenayah perang kerana mereka yakin akan terlepas daripada sebarang tindakan di atas alasan kononnya mereka betul.
Merujuk kepada konflik terbaharu dunia, beliau menggesa masyarakat antarabangsa supaya menyokong Ukraine dan mendesak supaya Rusia dibawa ke pengadilan antarabangsa kerana rakus melakukan jenayah kemanusiaan ke atas orang awam, seperti juga yang berlaku di Syria.
-BTS Media