BTS Media

Setelah 25 tahun berlalu, masihkah U.K’s bisa berbisa, tajam menikam?  

ATAS: Poster Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun di Istana Budaya.

 

Oleh Ahmad Abd Hamid

Setelah 25 tahun berlalu, masihkah kumpulan rock Ukays (U.K’s) mempunyai aura ‘Bisa Berbisa’ atau ‘Tajam Menikam’ (nama dua album) seperti yang dipamerkan ketika zaman kegemilangannya suku abad lalu?

Masihkah peminatnya di seluruh negara mengingati mereka dan tetap memberi sokongan kepada kumpulan yang dijelmakan oleh komposer prolifik Saari Amri pada tahun 90-an, dengan menampilkan Mohd Azmir Muhammad Yusuf atau Amir sebagai vokalis.

Persoalan ini bakal terjawab apabila U.K’s dijadual mengadakan Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun  pada 17 dan 18 Jun 2022 di Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai pukul 8.30 malam. Konsert dianjurkan oleh Mac Training Centre (MTC) Sdn. Bhd dan RCD Concepts Sdn Bhd.

Memetik penerbit konsert, Samirah Hambali, dari MTC, konsert dua jam itu dijadual menampilkan 25 lagu popular U.K’s semasa era kegemilangannya dan sudah pasti menyentuh hati peminat.

Samirah Hambali.

Ketika kemunculan U.K’s, dunia pop rock sudah pun diserikan dengan kehadiran beberapa kumpulan terkenal seperti Exist, Slam, Visa dan Damasutra. Namun, dalam persaingan sengit ini, U.K’s berjaya menempatkan nama dalam kalangan mereka yang sudah hebat.

Kumpulan U.K’s bukan sahaja mencipta nama dalam dunia pop rock tempatan sebagai kumpulan berpengaruh, malah berjaya mengembangkan sayap ke Asia Tenggara termasuk Indonesia, Singapura dan Brunei.

Dalam sejarah penglibatan seni, U.K’s yang merupakan anak didik Saari Amri, menghasilkan tujuh album, masing-masing Tinggal Irama (1989), Mencari (1992), Bisa Berbisa (1994), Tajam Menikam (1995), Panas Berpanjangan (1996), Cuma Aku Yang Hidup (1997) serta Pijar Kasmaran (2000).

Album Bisa Berbisa mencatat kejayaan cemerlang apabila berjaya dijual sehingga mencecah 400,000 unit di pasaran tempatan, satu jumlah yang tinggi dan tidak mudah dicapai ketika itu.

Album Tajam Menikam pula mencatat kejayaan besar di Indonesia apabila berjaya dijual sehingga 700,000 unit, satu kejayaan besar di pasaran antarabangsa.

Kehadiran U.K’s bagai fenomena baharu dalam pop rock ketika itu, dengan banyak lagu popular yang sehingga kini masih bermain di bibir peminat. Siapa yang tidak ingat lagu Siksa, Kau Satu-Satunya, Sebak, Tergamak kau, Pahit Akan Manis Akhirnya, Siapa Yang Rampas Cintamu, Bila Diri Disayangi dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu.

Selain Amir yang bakal muncul selaku vokalis, anggota asal U.K’s juga akan muncul. Antaranya Rozdenil Toni (Denill) pemain gitar, Mohd Saleh Mohd Alias (Olley) pemain bass serta serta Amiruddin Sharif (Amirul) pemain dram.

Selain itu, tenaga penting yang akan membantu memastikan konsert berjalan lancar ialah pengarah muzik berkaliber, Mohd Rafie Shafie (Rafi), Ahmad Firdaus Mahmud (Firdaus) serta Mustafa Kamal Ahmad (Mus Satira) sebagai pemain gitar.

Saari Amri.

Ketiga-tiga insan hebat dalam dunia muzik ini jugalah yang banyak terlibat dalam semua proses rakaman album U.K’s. Kini sekali lagi mereka berganding bahu bagi memastikan konsert reunion 25 tahun berjalan lancar serta tidak menghampakan peminat.

Menurut Samirah, U.K’s ialah nama besar dalam industri muzik tanah air. Pasti ramai peminat tertunggu-tunggu kumpulan ini kembali bergabung dalam konsert setelah 25 tahun menyepi dari dunia seni.

Konsert ini juga dianggap ujian sejauh mana U.K’s masih diminati dan diingati oleh peminatnya.

Usaha ini bukan sahaja dapat menghidupkan nostalgia U.K’s tetapi juga mengembalikan nostalgia peminat terhadap Amir dan kumpulan berkenaan. Kerana itu konsert ini juga dianggap ujian sejauh mana U.K’s masih diminati dan diingati oleh peminatnya.

Konsert di venue berprestij amat diharapkan oleh penggiat seni. Kali ini giliran U.K’s beraksi di pentas hebat itu. Bagi Amir ini adalah kejayaan membanggakan serta penghormatan untuk U.K.’s dan harus dipergunakan sebaik-baiknya.

Beliau percaya ramai peminat U.K’s yang membesar dengan kumpulan itu serta lagu-lagunya pasti teruja dengan konsert tersebut. Baginya setiap daripada mereka ada kenangan atau nostalgia tersendiri yang tetap diingat sehingga kini.

Oleh itu Amir menggesa peminat tidak melepaskan peluang datang beramai-ramai menyaksikan konsert berkenaan dengan membeli tiket melalui saluran yang disediakan.

Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun juga adalah sebagai penghargaan dan penghormatan kepada Saari Amri, insan yang banyak membantu menaikkan nama dan mempopularkan U.K’s melalui ciptaan pelbagai lagu yang dianggap ‘berhantu’. Beliau juga pernah memiliki studio rakaman, Menora Studio di Setapak, Kuala Lumpur.

Tiket bagi menyaksikan konsert ini berharga RM999 (Platinum), RM777 (VIP), RM555 (Gold), RM333 (Silver) dan RM111 (Bronze). Sebarang pertanyaan mengenai tiket boleh hubungi hotline 03-21706333, juga Whatsapp 01113297822 atau layari http://ilassotickets.com.

Di samping itu, Samirah mengalu-alukan kesediaan mana-mana pihak korporat yang sudi menaja konsert berkenaan sebagai sebahagian daripada projek atau kempen Tanggung Jawab Sosial Korporat (CSR). Ini untuk membantu insan seni di depan atau belakang tabir agar berpeluang untuk aktif semula setelah lama terkesan akibat pandemik Covid-19.

-BTS Media

Leave a Comment