BTS Media

Macron dipilih semula sebagai presiden Perancis, kalahkan Le Pen

 

Oleh Zainal AS Rashid

Presiden Perancis Emmanuel Macron dengan selesa memenangi pemilihan semula untuk penggal kedua pada Ahad (24 April).

Menurut unjuran agensi pilihan raya Perancis kemenangan itu muncul sebagai faktor meyakinkan ketika Eropah digugat serangan Rusia ke atas Ukraine.

Keputusan itu juga membuktikan betapa teguhnya kedudukan Macron di satu-satunya negara blok Eropah yang memiliki senjata nuklear, lapor cbsnews.

Kemenangan beliau dialu-alukan oleh semua negara sekutu Perancis.

Penggal lima tahun kedua untuk Macron yang berhaluan tengah telah menyelamatkan Perancis dan sekutunya daripada pergolakan peralihan kuasa daripada asakan pencabar dan seteru politiknya dari parti Rassemblement National (RN), Marion Anne Perrine Le Pen yang lebih dikenali dengan nama “Marine” Le Pen.

Semasa kempennya, Le Pen berjanji untuk mengurangkan hubungan Perancis dengan 27 negara EU, NATO dan Jerman.

Langkah tersebut dilihat akan mengancam struktur keselamatan serantau ketika Eropah bergelut dengan konflik terburuk sejak Perang Dunia Kedua.

Le Pen juga lantang membantah tindakan Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan ke atas Rusia.

Pendirian beliau sepanjang kempen pilihan raya yang ketara menyokong Rusia dikatakan punca beliau tewas.

Dengan kemenangan ini Macron muncul sebagai presiden Perancis pertama dalam 20 tahun memenangi pengundian semula, sejak Jacques Chirac menundukkan bapa Le Pen pada 2002.

-BTS Media

Leave a Comment