BTS Media

Badan kehakiman lapor polis, sangkal dakwaan wujud konspirasi ganggu kes Najib, Ahmad Zahid

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia menyangkal dakwaan bahawa Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mempercepatkan kes mahkamah yang sedang berjalan terhadap Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi.

Merujuk catatan di laman Facebook Shahir Samad-Tok Uban pada 20 April, Pejabat itu berkata laporan polis telah dibuat.

Catatan itu didakwa menuduh kononnya Ketua Hakim Negara bersetuju membantu mempercepatkan kes dan menghukum Najib dan Ahmad Zahid.

Menurut satu kenyataan pada Khamis (21 April) laporan polis dibuat untuk menafikan wujud dakwaan konspirasi, pakatan sulit atau pakatan haram antara pemimpin politik dan Ketua Hakim Negara.

Juga dinafikan dakwaan kewujudan komunikasi atau dihubungi oleh mana-mana pemimpin politik berhubung kes mahkamah melibatkan Najib dan Ahmad Zahid.

Kenyataan itu menegaskan bahawa kes-kes yang belum selesai di mahkamah hendaklah diteruskan mengikut undang-undang tanpa sebarang campur tangan oleh Ketua Hakim Negara atau mana-mana pihak lain.

Pejabat itu mendakwa bahawa tujuan pihak yang bertanggungjawab membuat dan menyebarkan dakwaan sedemikian adalah untuk mencemarkan imej mahkamah dan menghakis kepercayaan dan keyakinan badan tersebut dalam kalangan orang ramai.

Ia dikatakan juga bertujuan untuk mengganggu proses kehakiman dalam kes Najib dan Ahmad Zahid.

-BTS Media

Leave a Comment