Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan kepadanya timbunan besar fail berkaitan kes jenayah yang dihadapi, dan meminta bantuan beliau untuk campur tangan dalam prosiding mahkamah.
Dalam dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 April, Muhyiddin mendakwa Ahmad Zahid, sebagai plaintif dalam tuntutan mahkamah, meminta demikian selepas Presiden UMNO itu menghadiri mesyuarat di rumahnya.
Menurut Muhyiddin, selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, satu mesyuarat diadakan di rumahnya bagi membincangkan pembentukan kabinet baharu, dan perkara-perkara lain, lapor Bernama.
Beliau berkata hadir pada mesyuarat itu termasuk Ahmad Zahid, Azmin Ali dan Abdul Hadi Awang.
Setelah tamat mesyuarat tamat, Ahmad Zahid dikatakan telah meminta untuk berbincang dengan beliau secara tertutup, tetapi Muhyiddin meminta Azmin supaya hadir sama.
Muhyiddin berkata pada perbincangan itu, Ahmad Zahid menunjukkan kepada beliau timbunan besar fail yang dibawanya untuk perbincangan.
Apabila ditanya mengapa dia membawa fail itu, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa fail itu berkaitan kes jenayah terhadapnya yang didakwa bermotifkan politik.
Ahmad Zahid berkata dia tidak bersalah dan meminta bantuan Muhyiddin.
Muhyiddin berkata demikian dalam afidavit balasnya terhadap permohonan injunksi yang difailkan Ahmad Zahid dalam saman fitnahnya atas dakwaan dia meminta bantuan beliau untuk menyelesaikan atau menangguhkan kes mahkamahnya.
Muhyiddin memberitahu Ahmad Zahid beliau tidak boleh dan tidak akan mengganggu prosiding mahkamah, dan menasihatinya supaya membela diri di mahkamah jika dia benar-benar tidak bersalah.
Bekas perdana menteri itu memberitahu Ahmad Zahid bahawa beliau tidak boleh dan tidak akan mengganggu prosiding mahkamah, dan menasihatinya supaya membela diri di mahkamah jika dia benar-benar tidak bersalah.
Muhyiddin berkata tidak ada sebab sama sekali untuk Ahmad Zahid menunjukkan fail dan membuat permintaan sedemikian melainkan untuk mendapatkan campur tangan beliau dalam prosiding jenayah terhadapnya.
Muhyiddin turut menafikan bahawa kenyataan yang buatnya pada 16 Feb ketika hadir di perkarangan Pusat Pembelajaran Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 pada kempen pilihan raya negeri Johor ke-15 palsu atau berniat jahat
Peguam Ahmad Zahid, Shahrul Fazli Kamarulzaman mengesahkan kepada Bernama bahawa permohonan inter-partes (antara pihak) untuk injunksi oleh anak guamnya dalam saman fitnahnya terhadap Muhyiddin akan didengar pada 25 Mei di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Rozana Ali Yusoff melalui prosiding dalam talian.
Ahmad Zahid mendakwa kenyataan Muhyiddin membayangkan bahawa beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesai dan menangguhkan kes mahkamahnya yang sedang berjalan, meminta Muhyiddin campur tangan kes mahkamah dan sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor, dan membayangkan bahawa beliau bukan pemimpin yang dihormati dan dicontohi.
Dia mendakwa Muhyiddin berbuat demikian selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya negeri Johor.
Berdasarkan semua dakwaan itu, Ahmad Zahid menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk (aggravated damages) dan teladan, faedah, serta perintah supaya Muhyiddin menyiarkan permohonan maaf secara terbuka di akhbar, dan kos lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
-BTS Media