BTS Media

Ahmad Zahid lwn Muhyiddin: Isu perlu dibawa ke dalam perbicaraan – Mahkamah Tinggi

ISU dibangkitkan dalam saman fitnah yang difailkan oleh bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus didengar dalam perbicaraan penuh, kata Mahkamah Tinggi.

Perkara dalam saman itu adalah dakwaan Muhyiddin bahawa Ahmad Zahid meminta bantuannya untuk campur tangan dalam kes mahkamah tertentu.

Hakim Rozana Ali Yusoff berkata demikian ketika menolak permohonan injunksi Ahmad Zahid terhadap Muhyiddin semasa prosiding dalam talian di Kuala Lumpur pada Isnin (8 Ogos).

Beliau berkata, selepas mendengar hujah kedua-dua peguam bela, mahkamah menolak permohonan itu atas alasan isu yang dibangkitkan lebih baik diselesaikan dan diputuskan dalam perbicaraan.

Isu yang dibangkitkan ialah sama ada kenyataan defendan (Muhyiddin) adalah fitnah atau sebaliknya, sama ada kebenaran pembelaan defendan tentang justifikasi dalam menyokong kenyataan fitnahnya, sama ada kenyataan defendan komen yang adil dan sama ada defendan boleh bergantung pada pembelaan hak perlindungan bersyarat (qualified privilege).

Mahkamah Tinggi menolak permohonan dengan kos RM5,000.

Mahkamah juga menetapkan tarikh pengurusan kes pada 3 Okt ini melalui e-Semakan untuk pihak-pihak bersedia untuk perbicaraan.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah mendengar permohonan plaintif (Ahmad Zahid) untuk injunksi interim terhadap defendan.

Injunksi interim ialah perintah sementara untuk sesuatu pihak menghentikan perbuatan, sementara menunggu pelupusan tindakan sivil berkenaan.

Dalam saman yang difailkan 4 April lalu, Ahmad Zahid memohon injunksi interim ke atas Muhyiddin atau wakilnya memadam, mengedit dan menghentikan penerbitan sebahagian daripada rakaman video yang mengandungi kenyataan didakwa berunsur fitnah dalam portal berita dalam talian dan media sosial, termasuk pada Laman Facebook Perikatan Nasional, YouTube Astro Awani dan KiniTV.

Menurut tuntutan, Ahmad Zahid, 69, menyatakan pada 19 Okt 2018, dia didakwa di Mahkamah Sesyen atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah, dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, kesemuanya yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Dia mendakwa pada 16 Feb lepas, semasa kempen pilihan raya negeri Johor ke-15 di Mersing, di perkarangan Pusat Pembelajaran Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3, Muhyiddin telah membuat kenyataan berunsur fitnah dengan niat jahat terhadapnya.

Pada hari yang sama, katanya, rakaman video kenyataan fitnah itu disiarkan di saluran YouTube Astro Awani yang diuruskan Astro Awani.

Video sepanjang dua jam 35 minit dan lapan saat (2:35:08) itu boleh diakses di Internet.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan Muhyiddin membayangkan bahawa dia menggunakan jalan pintas untuk menyelesai dan menangguhkan kes mahkamahnya yang sedang berjalan, bahawa dia telah meminta bantuan Muhyiddin campur tangan dalam kes mahkamah dan sistem kehakiman, untuk mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor, dan juga memberikan implikasi bahawa dia bukanlah seorang pemimpin yang dihormati dan boleh dicontohi.

Ahmad Zahid mendakwa dakwaan itu adalah palsu dan bertujuan untuk mencemarkan nama baik dan reputasinya dan ia dibuat oleh defendan selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai pilihan raya negeri Johor.

Dia menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, serta perintah agar Muhyiddin menyiarkan permohonan maaf secara terbuka di akhbar, dan relif dan kos lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam afidavit jawapannya, Muhyiddin mendakwa Ahmad Zahid telah menunjukkan kepadanya (Muhyiddin) satu timbunan besar fail yang dikaitkan dengan kes jenayahnya dan meminta bantuan untuk campur tangan dalam prosiding mahkamah semasa mesyuarat yang diadakan di rumah bekas perdana menteri itu.

Muhyiddin mendakwa apabila mendengar permintaan plaintif, dia memberitahu plaintif bahawa dia tidak boleh dan tidak akan mengganggu prosiding mahkamah dan menasihatkan plaintif membela diri di mahkamah jika dia benar-benar tidak bersalah.

Defendan berhujah bahawa tidak ada sebab sama sekali untuk Ahmad Zahid menunjukkan fail dan membuat permintaan sedemikian melainkan untuk mendapatkan campur tangan beliau dalam prosiding jenayah terhadapnya.

Muhyiddin turut menafikan kenyataan yang dibuatnya semasa kempen pilihan raya negeri Johor ke-15 di Mersing di perkarangan Pusat Pembelajaran Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 pada 16 Feb lepas adalah palsu atau berunsur fitnah, atau dinyatakan dengan niat jahat.

-BTS Media

Leave a Comment