BTS Media

Rusuhan depot tahanan: Hamzah arah siasat segera

GAMBAR ATAS; Hamzah Zainuddin (Wikimedia Commons)/ Screen grab video.

 

Oleh Zainal AS Rashid

Jabatan Imigresen dan polis diarah menyiasat punca kira-kira 500 pelarian Rohingya melarikan diri dari pusat tahanan di Kedah awal pagi tadi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata beliau telah mengarahkan siasatan segera dilakukan terhadap kejadian itu.

Beliau juga mengarahkan semua agensi penguatkuasaan di bawah kementerian itu memburu mereka yang masih bebas.

“Fokus sekarang adalah untuk menangkap baki mangsa yang melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu (20 April).

Menurut Hamzah 528 daripada tahanan itu adalah pelarian Rohingya yang dipindahkan dari kem tahanan di Langkawi selepas mereka ditahan kerana menceroboh perairan Malaysia pada 2020.

Mereka ditahan kerana melanggar Akta Imigresen apabila memasuki negara ini secara haram dan tanpa dokumen yang sah, tambahnya.

Beliau mengulangi bahawa Malaysia tidak mengiktiraf pelarian kerana negara tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951.

Oleh demikian, beliau berkata kehadiran mereka di negara ini hanya dibenarkan atas dasar kemanusiaan.

Hamzah berkata untuk menjaga kedaulatan negara dan kepentingan rakyat, pihak berkuasa akan bertindak terhadap sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang Malaysia.

-BTS Media

Leave a Comment