BTS Media

Rusuhan di pusat tahanan imigresen Relau, ratusan tahanan lari, enam maut

GAMBAR: Sumbangan pembaca

 

 Oleh Zainal AS Rashid

Rusuhan di pusat tahanan imigresen Sungai Bakap di Relau, Bandar Baharu di Kedah telah mengakibatkan ratusan tahanan melarikan diri.

Kejadian yang tercetus pada kira-kira pukul 5 pagi Rabu (20 April) dikatakan berpunca daripada protes oleh kira-kira 650 tahanan Rohingya.

Sumber dalaman berkata kira-kira 229 daripada tahanan yang melarikan diri telah dapat ditangkap semula.

Jabatan Imigresen Pulau Pinang dan anggota polis daerah Bandar Baharu dan Seberang Perai Selatan digerakkan untuk mengawal keadaan dan menangkap semula tahanan

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pada kira-kira 6.50 pagi, enam daripada tahanan terbabit maut dalam kemalangan ketika cuba menyeberangi lebuh raya berdekatan ketika cuba  melarikan diri daripada pihak berkuasa.

“Mereka yang terbunuh adalah dua lelaki, dua wanita, seorang kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki,” katanya kepada media.

Difahamkan sebelum ini ramai etnik Rohingya ditahan dalam operasi oleh pelbagai agensi di Langkawi dan ditempatkan di situ.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan berhubung kejadian itu dikeluarkan pihak berkuasa.

Depoh tahanan sementara Sungai Bakap diuruskan oleh Jabatan Imigresen Pulau Pinang, tetapi kem itu sendiri terletak di Jalan Besar Relau, Bandar Baharu.

Video kejadian yang dirakam oleh penduduk tempatan tular melalui media sosial sejak awal pagi.

-BTS Media

Leave a Comment