BTS Media

Suki Low tampil dengan single ‘Nelangsa’

GAMBAR ATAS: Suki Low dengan single Nelangsa yang membawa maksud sedih.

 

Oleh Khadijah Ibrahim

Selepas meraih kedudukan tempat ketiga program realiti Gegar Vaganza musim kelapan, Suki Low kini tampil dengan single baharu berjudul Nelangsa.

Pasti ada yang tertanya, apa itu maksud Nelangsa memandangkan kita jarang mengguna perkataan tersebut dalam perbualan harian kita.

Kita selalu menggunakan perkataan sedih bagi menggambarkan perasaan hati yang sedang berduka. Namun komposer Farouk Roman dan penulis lirik, Senna sengaja menggunakan perkataan Nelangsa.

Nelangsa merupakan bahasa lama dari seberang yang membawakan maksud sedih. Senna sengaja memilih nama (Nelangsa) tersebut kerana ia unik dan sedap didengar. Malahan sesuai dengan konsep keseluruhan lirik dan mesej yang cuba disampaikan, iaitu kesedihan dan kesengsaraan.

Suki gembira diberi peluang untuk menyanyikan lagu Nelangsa.

Lagu Nelangsa dendangan Suki Low atau nama sebenarnya Low Sok Yee, 32, merupakan runut bunyi atau OST untuk filem baharu, The Assistant. Filem aksi lasak arahan Adrian Teh, lakonan Hairul Azreen dan Iedil Dzhuri itu bakal menemui penonton Mei ini.

“Suki sangat bersyukur apabila diberikan peluang untuk menyanyikan lagu ini kerana ia adalah lagu single pertama yang Suki rakam setelah lama tidak keluarkan lagu baharu.

Selepas menduduki tempat ketiga Gegar Vaganza, Suki Low mahu kembali aktif dalam bidang seni suara.

“Ini juga merupakan kali pertama Suki nyanyi untuk sebuah OST (original sound track) filem. Filem ini pula hebat jalan ceritanya. Ketika diberikan lagu dan liriknya, Suki dengar dan Suki terus suka melodinya serta lirik dan perkataan digunakan itu membuatkan Suki jatuh cinta dengan keseluruhan lagu ini yang bersesuaian dengan filemnya,” katanya tanpa berselindung.

Tambahnya lagi, Nelangsa merupakan sebuah lagu ynag mencabar sebab berat daripada segi emosi. Daripada segi vokal, dia mengguna pendekatan berbeza berbanding lagu-lagu yang pernah dirakamkan sebelum ini.

“Suki berasa bertuah kerana dapat bekerjasama dengan penerbit dan juga komposer terkenal dan berpengalaman, seperti Farouk Roman dan kita mempunyai visi yang sama untuk mempersembahkan lagu ini.

Pertama kali dengar melodi Nelangsa, Suki Low sudah tertarik untuk merakam lagu tersebut.

“Sesungguhnya, Suki sangat teruja untuk berkongsi lagu ini dengan peminat yang selalu memberi sokongan kepada Suki dan berharap mereka akan suka lagu Nelangsa ini,” katanya yang merupakan juara program realiti One In A Million musim pertama ketika berusia 16 tahun.

Single Nelangsa nyanyian Suki Low, edaran Alternate Records sudah boleh didengari di semua saluran digital bermula 15 April lalu.

-BTSMedia

Leave a Comment