GAMBAR ATAS: Malaysia United, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons.
Oleh Yusoff A. Shariff
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menawarkan dirinya untuk mewakili Sam Ke Ting, yang dipenjarakan kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja.
Muhammad Shafee berkata beliau menawarkan dirinya sebagai peguam untuk membantu wanita itu secara ‘pro bono’ (percuma) kerana merasakan bahawa beliau perlu mendapat pembelaan.
Beliau juga berkata rayuan ke Mahkamah Rayuan perlu didengar dengan segera kerana keadilan mesti dilakukan dalam hal ini untuk dibenarkan membuat rayuan, dan sementara menunggu rayuan, hukuman perlu ditangguhkan, lapor The Star.
Muhammad Shafee juga mencadang supaya ikat jamin segera diberikan.
Menurut beliau lagi, bantuan guaman beliau adalah berdasarkan keadilan, dan tiada kaitan dengan bangsa, mahu pun agama pesalah (Sam) atau lapan remaja yang meninggal dunia.
Peguam itu menyatakan harapannya agar Sam, yang mula menjalani hukuman penjara enam tahun pada Rabu, diselamatkan.
“Jika ikat jamin dibenarkan, dia boleh menyediakan rayuannya dengan lebih baik bersama peguamnya,” tambahnya.
Pada hari Rabu lalu, Sam, 27, dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 di atas kematian kesemua remaja yang menunggang ‘basikal lajak’ diubah suai di Johor Baru pada pukul 3.20 pagi 18 Feb 2017.
Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Abu Bakar Katar yang menjatuhkan hukuman tersebut tidak membenarkan penangguhan hukuman setelah dimohon oleh peguam bela Sam, Muhammad Faizal Mokhtar.
Sementara itu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan telah menghantar jemputan media untuk perbicaraan “kes kepentingan awam” berkenaan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada pukul 9.00 pagi esok.
Sam dijangka memohon penangguhan pelaksanaan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukumannya.
-BTS Media