GAMBAR ATAS: Poster Sholay, filem blockbuster dibintangi Sanjeev Kumar dan Hema Malini.- Sholay Media and Entertainment.
Oleh Ahmad Abd Hamid
Jika tidak kerana syarat dikenakan oleh aktor Sanjeev Kumar dan keluarga, terutama ibunya, terhadap aktres popular Hema Malini, mungkin mereka berdua telah melayari hidup bahagia bersama.
Kasih sayang berputik ketika penggambaran filem ‘Seeta aur Geeta’, keluaran 1972. Sanjeev dan Hema adalah pelakon utama dalam filem arahan Ramesh Sippy ini. Dalam filem itu Hema memegang dua watak, sebagai Seeta dan Geeta, dua gadis berwajah sama.
Namun untuk berkahwin, Sanjeev meletakkan syarat Hema Malini berundur daripada dunia glamor sebagai pelakon. Dia perlu menjadi suri rumah sepenuh masa dan menumpukan seluruh perhatian kepada keluarga. Sanjeev sendiri akan terus aktif dalam filem.
Syarat ini terlalu berat untuk diterima oleh Hema. Ibu Hema juga tidak bersetuju. Ini kerana ketika itu nama Hema Malini sedang memuncak sebagai seorang pelakon dan sedang melalui era gemilang dalam dunia perfileman Bollywood.
Sanjeev juga tidak bersedia melonggarkan syarat yang diberi. Akhirnya ikatan cinta terlerai. Sanjeev sendiri membujang sehingga meninggal dunia pada November 1985 pada usia 47 tahun. Hema Malini, kini berusia 74 tahun, berkahwin dengan aktor Dharmendra pada 1980.
Dharmendara sudah pun mempunyai isteri ketika itu, Prakash Kaur, yang dikahwini pada 1954. Antara anak pasangan ini ialah pelakon Sunny Deol dan Bobby Deol. Mereka juga mempunyai dua anak perempuan, Vijeta dan Ajeeta.
Bersama Hema Malini, Dharmendra mendapat dua orang anak, Ahana Deol dan Esha Deol. Esha pernah mewarnai layar perak Hindi namun untuk seketika sahaja.
Dharmendra dan Hema pernah membintangi beberapa filem bersama, seperti Tum Haseen Main Jawan, Dream Girl, Razia Sultan, Seeta aur Geeta, Pratiggya, The Burning Train, Naya Zamana dan filem blockbuster, Sholay (1975), yang turut menampilkan Sanjeev Kumar, Amitabh Bachchan, Jaya Bhaduri serta Amjad Khan.
Menyingkap kisah Sanjeev Kumar dan Hema Malini, Sanjeev pernah jatuh cinta dengan beberapa orang aktres, termasuk Sulakshana Pandit. Namun semuanya berakhir di tengah jalan.
Kerana itu apabila berkasih dengan Hema, dia mahu perhubungan berakhir dengan ikatan perkahwinan. Ibu Sanjeev juga sudah bersetuju. Namun syarat dikenakan kepada Hema menyebabkan hubungan mereka renggang dan kasih berkecai.
Memetik indianexpress.com, Hema menyifatkan permintaan Sanjeev agar dia menjadi suri rumah sepenuh masa dan berkorban menjaga ibunya (Sanjeev) sebagai melambangkan sikap cauvinis seorang lelaki. Ibu Hema juga menentang syarat ini.
Hema memberitahu, Sanjeev mengharapkan dia menjadi isteri yang taat kepada suami dan keluarga, hanya duduk di rumah berkorban menjaga ibu Sanjeev yang sudah tua serta menyokong karier Sanjeev. Sanjeev pula akan terus menempa nama dalam filem dan disanjung peminat. Ini tidak dapat diterima oleh Hema.
Ketika itu larangan ahli keluarga perempuan aktif dalam filem paling ketara dalam Keluarga Kapoor. Keluarga ini menetapkan anak perempuan tidak boleh aktif dalam filem. Menantu perempuan, jika bintang filem, hendaklah berundur setelah mendirikan rumah tangga dengan ahli keluarga Kapoor.
Kerana itu Babita yang sedang mencipta nama meninggalkan dunia glamor perfileman selepas berkahwin dengan aktor Randhir Kapoor, anak Raj Kapoor. Begitu juga dengan Neetu Singh, yang berundur selepas berkahwin dengan Rishi Kapoor, adik Randhir.
Namun peraturan itu kini sudah terlerai. Anak perempuan Randhir Kapoor dan Babita, iaitu Karisma Kapoor dan Kareena Kapoor menceburkan diri dalam filem dan merupakan antara aktres paling popular dalam perfileman Hindi.
Barangkali jika Hema Malini patuh kepada syarat Sanjeev Kumar, dia akan menjadi suri rumah seperti Babita dan Neetu Singh. Namun dia lebih memilih karier, dan terbukti dia membuat pemilihan tepat kerana berjaya menempatkan dirinya antara aktres ternama Bollywood.
Antara filem lakonan Hema Malini ialah Baghban, Johnny Mera Naam, Naseeb, Lal Pathar, Baabul, Alibaba Aur 40 Chor, Andaz, Kranti, Raja Jaani, Jugnu, Joshila dan lain-lain.
Filem lakonan Sanjeev Kumar antara lain ialah Trishul, Khilona, Khud Daar, Mausam, Manchali, Angoor, Naya Din Nai Raat, Paras, Anhonee, Satyakam, Anamika, Suraag, Anokhi Raat, Pati Patni dan banyak lagi.
Selain Seeta aur Geeta dan Sholay, Sanjeev pernah berlakon bersama Hema Malini dalam beberapa buah filem, antaranya Trishul, Kunwara Baap, Hiraasat, Dhoop Chhaon dan Suraag.
Cinta Sanjeev terhadap Hema Malini begitu mendalam. Dia dikatakan sangat kecewa cintanya gagal sehingga membiarkan diri dan kehidupannya tidak lagi terurus. Penderitaan putus kasih ini dibawa sehingga ke penghujung nyawa.
-BTS Media