BTS Media

MySejahtera: Kebimbangan ala dunia dystopia George Orwell, ‘1984’

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Di sana-sini sekarang kita terdengar suara menggesa supaya penggunaan aplikasi MySejahtera dimansuhkan.

Ada yang berkata aplikasi itu telah ‘ditelan zaman’ dan lapuk kerana Covid-19 didakwa kini berada di mana-mana.

Bagaimana pun, hakikatnya amat jelas bahawa kaedah pengesanan bagi mengawal jangkitan Covid-19 yang belum tamat masih diperlukan.

Bagi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) perkara tersebut perlu dipertimbangkan kerana negara sedang beralih ke fasa endemik, justeru kaedah pengesanan menggunakan aplikasi MySejahtera tidak lagi memberi manfaat.

Bagaimana pun, jika diperincikan secara lebih meluas kita akan dapati bahawa aplikasi MySejahtera bukan sekadar untuk memasuki premis atau membuktikan sama ada seseorang itu sudah mendapat vaksinasi penuh atau sebaliknya.

Kita juga perlu ingat bahawa aplikasi itu amat penting digunakan untuk kita memasuki negara lain. Ini kerana kebanyakan negara masih ketat mengenakan syarat bagi mengesahkan status vaksinasi seseorang yang mewajibkan dua dos vaksinasi yang ditambah dengan suntikan penggalak.

Dalam pada itu beberapa negara turut mewajibkan kepastian vaksin jenama apa yang diterima oleh pelawat, terutama di barat di mana vaksin buatan China, Sinovac tidak diterima, sementara di China pula vaksin barat, Pfizer atau AstraZeneca ditolak.

Maka itu, dengan menggunakan aplikasi rasmi negara, MySejahtera kita sekurang-kurangnya mempunyai ‘dokumen’ rasmi yang mengesahkan status diri. Apatah lagi memandangkan banyak negara telah mengumumkan penerimaan MySejahtera bagi kemasukan pelawat asing.

Inisiatif pengesanan kontak bukan sesuatu yang asing di dunia sekarang, dan Malaysia tidak terkecuali, kerana hampir semua negara mempunyai aplikasi sendiri bagi pengesanan secara digital.

Yang menjadi persoalan sekarang bukan sama ada MySejahtera tidak lagi diperlukan, tetapi isu yang lebih meluas dipersoalkan, iaitu kebimbangan tentang perlindungan data lebih 30 juta rakyat Malaysia. Itulah isu yang membimbangkan.

Isu yang sama turut ditimbulkan di negara-negara lain. Orang ramai mahukan penjelasan meyakinkan bahawa butiran maklumat yang dikumpulkan melalui aplikasi pengesan dijaga rapi dan tidak digunakan bagi mencerobohi privasi seseorang. Ini termasuk kemungkinan kesemua data digunakan bagi tujuan menjejaki pergerakan rakyat dan penguatkuasaan undang-undang ala keadaan dalam novel dystopia karya George Orwell, ‘Nineteen Eighty Four.’

Apa pun kesudahannya nanti diharapkan agar pihak kerajaan memandang serius perkara ini dan tidak berlaku ketirisan atau penyalahgunaan data peribadi rakyat.

Namun demikian kita sama-sama taat meneruskan penggunaan MySejahtera untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat.

-BTS Media

Leave a Comment