BTS Media

Kolaborasi Alif Satar & The Locos bersama Raihan demi ‘The Sunnah the Better’

GAMBAR ATAS: Alif Satar & The Locos bersama Raihan tampil dengan EP ‘The Sunnah the Better’ pada Ramadan ini.

 

Oleh Khadijah Ibrahim

Penyanyi, pelakon dan pengacara Alif Satar, melahirkan rasa gembira kerana berpeluang meneruskan kolaborasi lagi dengan kumpulan nasyid legenda, Raihan.

Sebelum ini Alif pernah bekerjasama dengan Raihan menerusi lagu Sesungguhnya 2019 dan diikuti dengan lagu Damba Cintamu yang mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Untuk projek sempena Ramadan ini, Alif dan kumpulannya, The Locos bersama Raihan tampil dalam sebuah EP yang berjudul The Sunnah the Better yang diterbitkan secara eksklusif oleh label rakaman Warner Music Malaysia.

“Sesungguhnya ia merupakan penghormatan besar buat kami, pemuzik pelapis, dapat bekerjasama dengan senior-senior dalam industri muzik Malaysia seperti Raihan.

Alif dan anggota The Locos terharu dapat bekerjasama dengan kumpulan nasyid legenda, Raihan.

“Kita semua membesar mendengar lagu-lagu Raihan yang penuh dengan pengajaran dan peringatan sebagai umat Islam, dan melalui kolaborasi ini, kami ingin menghidupkan semula semangat tersebut dan mengembalikan nostalgia lagu-lagu berunsur spiritual sekali gus memperkenalkan Raihan kepada generasi muda sekarang,” jelas Alif.

Katanya, dalam EP tersebut terdapat lima lagu hits terbaik Raihan dalam bentuk audio di laman YouTube bermula 1 April ini iaitu, Bismillah, 25 Rasul, Puji-Pujian x Syukur (Medley), Assolatuwassalam dan Rayuan Rindu.

Manakala video muziknya pula dilancarkan berperingkat sepanjang bulan Ramadan dan boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Alif Satar iaitu pada, 3 April (Bismillah), 7 April (25 Rasul), 13 April (Pujian-pujian + Syukur (Medley), 19 April (Assolatuwassalam) dan 24 April (Rayuan Rindu).

Bila ditanya, mengapa Raihan? Alif dengan tenang memberitahu bahawa dia dan anggota The Locos adalah peminat Raihan sejak kecil lagi.

Lagu-lagu dendangan kumpulan Raihan penuh dengan mesej dan disenangi ramai.

“Kami minat Raihan bukan sekarang, sejak kecil lagi, kebanyakan lagu mereka kami sudah hafal by heart. Kami juga pernah bekerjasama sebelum ini, jadi chemistry yang ada memudahkan lagi proses rakaman.

“Setelah berbulan perbincangan, kami mengambil keputusan untuk memulakan sesi rakaman yang hanya memakan masa selama dua hari sahaja dan setiap lagu yang dihasilkan hanya ‘sekali jalan’, maksudnya tiada pengubahsuaian mahupun rakaman semula ibarat nyanyian secara langsung yang bertempat di Drum Asia, Kota Damansara,” ceritanya.

Alif juga turut berkongsi bahawa dia ada menitiskan air mata kerana tidak menyangka dapat merakamkan lagu bersama-sama kumpulan nasyid bertaraf antarabangsa itu.

“Lagu-lagu Raihan amat menyentuh perasaan dan penuh kesedaran, bukan saya seorang sahaja yang terasa sebaknya, bahkan anggota The Locos juga turut menitiskan air mata, dan perasaan kebersamaan atau ukhuwah itu jelas terasa.

“Raihan, sebuah nama besar dalam industri muzik Malaysia yang tidak perlu diperkenalkan lagi, mempunyai pengaruh besar dari dalam mahupun luar negara, lagu-lagu ciptaan mereka tersebar luas di seluruh dunia dengan membawa mesej-mesej ketuhanan dan kerohanian yang penuh dengan nasihat dan panduan berguna.

“Banyak yang kami pelajari daripada mereka, agak gementar juga ketika mula-mula hendak bekerjasama, kerana mereka sudah bertaraf antarabangsa. Namun begitu, mereka tetap merendah diri dan tidak lokek berkongsi ilmu selain menerima cadangan-cadangan kami,” kata Alif.

Tambahnya, untuk EP ini juga ada beberapa kelainan yang ditonjolkan.

“Ada beberapa kelainan yang kami tonjolkan melalui EP ini, jika sebelum ini kebanyakan lagu Raihan dibawakan secara acapella, pada kali ini kami ada memasukkan bunyi-bunyian dari alatan muzik, manakala Che Am dan saya bertindak selaku ketua vokal.

“Tidak banyak yang diubah kerana komposisi terdahulu sudah cukup sempurna agar mood yang dibawakan tidak lari dari bunyi yang asli. Selain itu, ahli The Locos juga turut menyumbangkan suara mereka selaku penyanyi latar,” katanya.

Video muzik lima lagu dendangan Alif & The Locos bersama Raihan akan disiarkan secara berperigkat menerusi YouTube Alif Satar.

Selain EP, kesemua MV The Sunnah The Better arahan Zaidan Zainuddin dari Shutterspeak Studio akan menampilkan konsep yang ringkas namun menarik dengan jalan cerita yang mudah difahami oleh setiap lapisan umur termasuk kanak-kanak kerana tujuan utamanya adalah memberi nasihat melalui lagu yang disampaikan.

“Tujuan utama kami menghasilkan EP ini adalah untuk menghibur dan membawakan mesej-mesej berguna dengan jujur dan ikhlas. Semoga ramai dapat menerimanya dengan hati yang terbuka dan sama-sama kita meriahkan bulan Ramadan yang mulia ini.

“Diharap mesej dalam lagu ini dapat mendidik anak-anak melalui konsep edutainment dan kami juga ingin mengajak mereka yang bukan beragama Islam untuk turut mendengar dan secara tidak langsung dapat belajar tentang agama Islam,” ujar Alif.

Penggambaran video muzik lagu-lagu tersebut dibuat di Masjid Al-Falah Subang Jaya dengan kerjasama yang baik daripada ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

–  BTSMedia

Leave a Comment