Oleh Zainal AS Rashid
Esok seluruh umat Islam akan memulakan ibadah puasa Ramadan.
Kesibukan terasa di presint membeli-belah Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur apabila orang ramai kembali memeriahkan kawasan tersebut untuk mendapatkan barang keperluan sebelum Ramadan.
Jika sebelum ini kawasan itu agak lengang pada sebelah pagi, namun sejak dua tiga hari kebelakangan ini ia mula sibuk.
Selain mencari keperluan menyambut Ramadan tidak kurang ramai juga yang mengambil kesempatan membeli-belah untuk Hari Raya Aidil Fitri lebih awal bagi mengelakkan kesesakan yang dijangka akan berlaku dua minggu lagi.
Menarik kali ini berbanding dua tahun lalu apabila pergerakan orang ramai terhad disebabkan pandemik Covid-19, tahun ini seolah-olah menjanjikan kemeriahan kerana banyak premis melanjutkan waktu perniagaan sepanjang Ramadan.
Kemeriahan turut dirasakan di kawasan Chow Kit, terutama sepanjang Jalan Raja Bot, dengan pasar dan penjaja di sekitar menjadi tumpuan pembeli.
Zon penjaja Ramadan masih belum diaktifkan di kawasan itu, tapi dijangka ia akan mula beroperasi esok.
-BTS Media