BTS Media

Kuantan benarkan orang ramai buka puasa di padang MBK1 Ramadan ini

GAMBAR ATAS:  Padang MBK 1, Kuantan yang berdepan dengan masjid negeri./ Foto: Aziz A. Shariff

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Buat pertama kali dalam hampir tiga tahun, orang ramai akan dibenarkan berbuka puasa di Padang MBK 1, Kuantan sebagaimana tradisi Ramadan sebelum pandemik Covid-19.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri telah memutuskan untuk membenarkan aktiviti tersebut di padang berkenaan sepanjang Ramadan ini.

Beliau dalam satu kenyataan, bagaimanapun, berkata oleh kerana ruang terhad, tempahan perlu dibuat lebih awal melalui laman web Majlis Bandaraya Kuantan.

Menurut Wan Rosdy, kebenaran berbuka puasa di Padang MBK 1 diberi setelah mengambil kira kadar jangkitan yang rendah ketika berada di kawasan lapang. Sebanyak 136 lot untuk berbuka puasa disediakan.

Tempahan bagi setiap lot digalakkan dibuat sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh berbuka puasa dan tertakluk kepada ketersediaan, sementara had masa yang dibenarkan adalah dari pukul 6 petang hingga 8.30 malam.

Sebelum pandemik Covid-19, setiap tahun padang MBK 1 popular dalam kalangan umat Islam untuk berbuka.

Wan Rosdy juga berkata Jawatankuasa Pasukan Petugas Covid-19 Pahang telah memutuskan untuk membenarkan solat Tarawih sehingga 20 rakaat di masjid dan surau di seluruh negeri.

-BTS Media

Leave a Comment