Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh memfailkan saman balas terhadap Kamarul Zaman Yusoff berhubung dua hantaran yang mendakwa dia cuba menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.
Bagaimanapun, pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu dalam tuntutan balas menyatakan dia bersedia membela diri dengan mengemukakan bukti berhubung dakwaan itu di mahkamah.
Yeoh memfailkan saman fitnah itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Feb lalu.
Kamarul memfailkan saman fitnah lebih awal terhadap Yeoh berhubung catatan Facebook wakil rakyat DAP itu pada September 2020.
Pensyarah itu menyaman Yeoh berhubung respons Ahli parlimen itu terhadap hantarannya yang memaparkan Yeoh dan kain rentang bertulis “Peranan Umat Kristian Dalam Pembangunan Negara”.
Pada 17 Mei 2017, Kamarul juga membuat laporan polis terhadap Yeoh berhubung buku biografinya yang bertajuk Becoming Hannah’.
Kamarul menuduh Yeoh, yang ketika itu merupakan speaker DUN Selangor cuba berdakwah agama Kristian dan didorong oleh “agenda Kristianisasi”.
Menurut salinan pernyataan tuntutan saman sivil Yeoh yang dilihat Malaysiakini, bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu memfailkan saman terhadap dua hantaran Facebook Kamarul pada 10 dan 17 Mei 2017.
Hantaran pertama bertajuk ‘Hannah Yeoh contoh hipokrasi terbesar DAP’, manakala satu lagi bertajuk ‘Laporan polis saya terhadap Hannah Yeoh’.
Yeoh mendakwa dua hantaran FB itu sangat tidak bertanggungjawab, berunsur skandal, keji dan telah sengaja diterbitkan oleh Kamarul untuk menyemarakkan perasaan benci dan marah terhadapnya.
Yeoh berkata Kamarul telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai ahli akademik untuk mengeluarkan kenyataan bermotifkan politik terhadapnya.
Melalui writ saman terhadap Kamarul, Yeoh menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
Selain itu Yeoh juga meminta pensyarah itu membuat penarikan dan permohonan maaf secara awam tanpa syarat.
Dia juga memohon injuksi mahkamah bagi melarang defendan daripada terus menerbitkan sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.