BTS Media

Wewinn minati pasukan beruniform

Gambar atas: Selain menyanyi, Wewinn juga meminati kerjaya pasukan beruniform.

 

Oleh Khadijah Ibrahim

Ketika ini lagu Rakus, duet Wewinn dengan Izzrin Irfan menjadi perhatian ramai. Pertama orang berminat untuk mendengar dan menonton video muzik lagu Rakus kerana mahu menilai vokal kedua-dua penyanyi baharu itu.

Rata-rata komen yang diberikan di saluran YouTube Aries Music, ada yang memberi sokongan dan tidak kurang juga yang memandang rendah bakat mereka.

Apa pun pandangan orang ramai, lagu Rakus ciptaan Amzar Razqa, Adk Razqa dan Muariffah dan lirik oleh ADK Razqa dan Muariffah itu yang dimuat naik sejak 8 Februari lalu membawa maksud yang positif kepada pendengar.

Menurut Wewinn, Rakus yang disampaikan secara santai itu bertujuan memberi nasihat kepada pasangan bercinta supaya berhati-hati dalam memilih pasangan untuk dijadikan teman hidup.

Pasangan duet Wewinn dalam lagu Rakus iaitu Izzrin Irfan.

“Lagu Rakus bercerita tentang pesanan kepada orang ramai supaya berhati-hati semasa bercinta untuk pilih pasangan. Lagu ini judul Rakus, sebab kalau kita faham maksud rakus ini seorang yang gelojoh dan tamak, suka berlebih-lebih.

“Rakus ni kita nak tuju kepada orang yang tak cukup satu pasangan, dia nak ramai girlfriend, kira buaya la. Kita nak nasihat supaya berhati-hati jangan sampai kita terjerat,” jelas Wewinn yang amat berhati-hati dalam urusan berkaitan hati dan perasaan itu.

Wewinn atau nama sebenarnya, Nur Ezzati Syafinaz, 21, ketika dihubungi berkata, dia tidak menghadapi masalah bergandingan dengan Izzrin Irfan.

Lagipun ini bukan kali pertama mereka berkolaborasi kerana sebelum ini Izzrin Irfan pernah berlakon dalam video muzik Cintai Aku, dendangan Wewinn.

“Dulu kami sekadar berlakon, kali ini kami menyanyi dan berlakon bersama. Bila melihat kami begitu serasi di set penggambaran, ada kru yang tanya, kami bercinta ke? Saya dan Izzrin boleh tampak serasi kerana kami satu kepala,” katanya.

Wewinn harap di masa akan datang berpeluang merakam lagu ciptaan sendiri.

Wewinn yang berasal dari Selangor dan membesar di Negeri Sembilan itu mengakui jika ada tawaran berlakon, dia tidak keberatan untuk mencuba.

Sebagai seorang yang happy go lucky, Wewinn mengakui, dia suka dengan genre lagu Rakus yang catchy itu.

“Lagu ini berbeza dengan Cintai Aku yang berentak balada tapi lagu ini catchy. Sebenarnya saya lebih suka lagu catchy macam ni sebab kena dengan jiwa kerana saya adalah seorang yang happy go lucky.

“Selalunya, bila kita dengar lagu nyanyian sendiri, automatik kita suruh tutup sebab malu. Tapi bila lagu Rakus ni, bukalah banyak kali pun saya suka saja dengar,” akui anak kedua daripada tiga beradik itu.

Wewinn yang tampak lemah lembut itu sebenarnya berjiwa kental. Di sebalik hijab, dia adalah seorang pemain futsal dan pandai bersilat yang disertai sewaktu sekolah.

Jangan sembarangan dengan Wewinn kerana dia pandai bersilat.

“Kalau nak tahu, cita-cita saya bukan nak jadi penyanyi tapi nak jadi polis. Kebetulan saya dapat peluang menyanyi dan lagipun menyanyi tu hobi, jadi saya teruskan. Dulu saya busking di sebuah kafe di Nilai dengan abang-abang band.

“Sebenarnya impian untuk jadi anggota polis belum padam. Kalau ada tawaran polis, saya pergi saja. Saya sudah buat ujian dan kalau ada rezeki dapat panggilan untuk rekrut nanti,” katanya yang meminati Mas Idayu.

Remaja ini bukan saja boleh menyanyi dan bersukan, dia juga berkebolehan mencipta lagu sejak dari tingkatan tiga lagi. Wewinn berharap untuk masa akan datang, dia berpeluang merakam lagu ciptaan sendiri.

Bersama Izzrin Irfan mempromosi lagu Rakus di stesen radio ERA.

“Untuk bidang nyanyian, banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari. Tak kiralah saya dapat penuhi impian untuk menjadi anggota polis atau sebaliknya, kerjaya seni tetap diteruskan.

“Kalau ada rezeki saya mahu menjadi penyanyi profesional seperti penyanyi legenda Datuk Seri Siti Nurhaliza atau Ella dan Allahyarham Siti Sarah. Mereka ni bila menyanyi dengan penuh jiwa ikhlas,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment