BTS Media

Arahan KSN pintas penggantungan, Mohd Zafir terus bertugas sebagai SUK Negeri Sembilan

SETIAUSAHA Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, akan terus menjalankan tugasnya seperti biasa walaupun kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan penggantungannya berkuat kuasa serta-merta.

Mohd Zafir berkata beliau telah diarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, supaya terus hadir bertugas seperti biasa.

Menurutnya, sebagai penjawat awam Persekutuan yang ditempatkan di Negeri Sembilan, beliau perlu mematuhi arahan tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak berada di pejabatnya di Wisma Negeri pada Rabu kerana mempunyai tugasan rasmi di luar.

Mohd Zafir turut memaklumkan bahawa beliau telah mendapatkan pandangan Penasihat Undang-Undang Negeri dan dimaklumkan bahawa penggantungannya tidak sah.

Beliau berkata Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, turut berpandangan bahawa penggantungan beliau dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, adalah tidak sah.

Pendirian itu selari dengan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai kuasa untuk menggantung kedua-dua pegawai berkenaan, kerana urusan pelantikan dan penggantungan tertakluk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Mohd Zafir juga berkata setakat ini beliau belum menerima sebarang surat rasmi mengenai penggantungan tugasnya, selain kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Pada Selasa, Ismail mengumumkan penggantungan Mohd Zafir dan Muzalmah selepas mesyuarat khas MMKN, dengan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali, diarahkan menjalankan tugas SUK sementara menunggu pelantikan baharu.

Menurut Ismail, tugas Penasihat Undang-Undang Negeri pula akan dijalankan oleh peguam Fahmi Adilah sehingga pelantikan baharu dibuat.

Perkembangan itu berlaku ketika kemelut perlembagaan Negeri Sembilan berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, semakin meruncing.

Sebelum ini, pada 17 September, Mohd Zafir dilaporkan tidak meneruskan arahan MMKN untuk mewartakan proklamasi bertarikh 19 April berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Beliau dilaporkan mengambil pendirian bahawa tindakan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak sah, selain selaras dengan pandangan Jabatan Peguam Negara bahawa kenyataan anggota MMKN yang mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz tidak mempunyai kesan undang-undang.

Proklamasi 19 April itu turut menyatakan pengiktirafan terhadap Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

-BTSMedia.my

Leave a Comment