BTS Media

Setiausaha Kerajaan Negeri didesak letak jawatan, AGC dipersoal mengenai isu Tuanku Muhriz

SEKRETARIAT yang mewakili Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mendesak Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan meletakkan jawatan susulan kegagalannya melaksanakan arahan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berhubung pewartaan Proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Dalam kenyataan hari ini, sekretariat itu turut meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Setiausaha Kerajaan Negeri menilai semula pendirian masing-masing bahawa proses siasatan bagi menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak dibuat mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Sekretariat berkenaan mendakwa proses siasatan terhadap salah laku Tuanku Muhriz telah dilaksanakan dalam mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 5 Mac, sebelum siasatan lanjut dilakukan oleh Undang Yang Empat pada 19 April 2026.

Menurutnya, laporan siasatan yang memperincikan dakwaan salah laku itu kemudiannya telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 26 Ogos.

Sekretariat itu mendakwa kenyataan AGC pada Khamis lalu boleh menimbulkan gambaran seolah-olah kerajaan negeri telah bertindak secara tidak sah apabila menerima Proklamasi berkenaan.

Sebaliknya, ia menegaskan bahawa keputusan untuk menurunkan Tuanku Muhriz dibuat oleh Undang Yang Empat berdasarkan kuasa prerogatif mereka, manakala tindakan Exco negeri menerima Proklamasi itu dikatakan sebagai langkah untuk menjunjung prinsip keluhuran perlembagaan.

Sekretariat itu turut mendakwa proses dan prosedur yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan telah dipatuhi sebelum Proklamasi bertarikh 19 April dikeluarkan.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada pendirian AGC pada 17 September bahawa Menteri Besar dan Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menurunkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz.

AGC sebelum ini menyatakan kesahan serta kesan undang-undang Proklamasi berkenaan perlu ditentukan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang diperuntukkan, selain mendapati Proklamasi itu tidak sah kerana tidak memenuhi keperluan mandatori di bawah Perkara 10.

Dalam pada itu, sekretariat mendakwa Setiausaha Kerajaan Negeri mempunyai kewajipan untuk mematuhi arahan kerajaan negeri yang sedang memerintah dan tidak sepatutnya menerima arahan daripada pihak luar yang tidak mempunyai kaitan dengan pentadbiran negeri.

Sehubungan itu, kegagalan mewartakan Proklamasi walaupun telah diarahkan Exco negeri dikatakan menjadi alasan sekretariat berkenaan menggesa Setiausaha Kerajaan Negeri mengundurkan diri.

Sekretariat itu pada masa sama menegaskan bahawa pewartaan bukan syarat yang menentukan kesahan sesuatu Proklamasi, sebaliknya mendakwa ia menjadi sah dan lengkap selepas semua pihak yang berhak menandatanganinya berbuat demikian.

Berhubung prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban yang dirujuk AGC sebagai masih berjalan, sekretariat itu berkata kes berkenaan hanya melibatkan tuntutan supaya minit mesyuarat DKU bertarikh 17 April dikemukakan.

Ia mendakwa prosiding tersebut tidak menyentuh persoalan kesahan Proklamasi 19 April.

Sekretariat itu juga menjelaskan bahawa injunksi yang dirujuk dalam kenyataan AGC sebenarnya merupakan injunksi ad interim yang antara lain mengarahkan DKU mengekalkan keadaan sedia ada (status quo) pada 21 Mei 2026.

Menurut sekretariat, berdasarkan keadaan sedia ada pada tarikh berkenaan, Undang Yang Empat yang dianggap sah ialah Datuk Mubarak Dohak (Undang Sungei Ujong), Datuk Maarof Mat Rashad (Undang Jelebu), Datuk Mohammed Abdullah (Undang Johol) dan Abdul Rahim Yasin (Undang Rembau).

Ia turut menyenaraikan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus al-Qadri, serta Dato’ Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.

Sekretariat berkenaan turut mempertikaikan senarai Undang yang dikeluarkan susulan mesyuarat DKU pada 31 Julai dan 13 September lalu.

-BTSMedia.my

Leave a Comment