KEJAYAAN seorang bekas banduan yang menamatkan pengajian sehingga memperoleh Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan membuktikan bahawa kesilapan masa lalu bukan penghalang untuk seseorang mengubah kehidupannya, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Baginda bertitah, pencapaian Dr Malik Yatam, 39, yang disifatkan sebagai banduan pertama di Malaysia memperoleh PhD ketika masih menjalani hukuman, membuktikan peluang kedua mampu membuahkan hasil luar biasa apabila disertai keinsafan, ilmu dan keazaman.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika melancarkan autobiografi Malik di Perpustakaan Raja Tun Uda, di Shah Alam, hari ini.
Baginda turut melahirkan rasa puas hati terhadap keputusan memberikan pengampunan diraja kepada Malik selepas meneliti dan mempertimbangkan semua keadaan berkaitan kes berkenaan.
Menurut baginda, kejayaan Malik seharusnya menjadi bukti bahawa seseorang yang pernah melakukan kesilapan masih berupaya mengubah haluan hidup sekiranya benar-benar mahu memperbaiki diri.
Baginda berharap autobiografi yang mengisahkan perjalanan hidup Malik sebelum, sepanjang dan selepas menjalani hukuman penjara itu dapat menjadi sumber inspirasi kepada individu lain yang sedang berusaha membina semula kehidupan mereka.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menasihati Malik supaya terus merendah diri walaupun semakin dikenali masyarakat susulan pencapaiannya.
Baginda mengingatkan Malik supaya sentiasa menjaga akhlak dan nama baik diri serta keluarga, selain terus berusaha memperbaiki diri tanpa terpengaruh dengan populariti sementara.
Sultan Selangor turut menasihatinya supaya kekal memberi tumpuan kepada matlamat akademik, keluarga dan masyarakat serta tidak mudah terpesong daripada laluan hidupnya, termasuk sekiranya menerima tawaran berkaitan politik.
Kisah Malik bermula ketika dia berusia 14 tahun apabila ditahan pada tahun 2001 susulan kematian majikannya.
Dia terlepas daripada hukuman mati berdasarkan peruntukan Akta Kanak-Kanak sebelum dijatuhi hukuman tahanan, yang tidak menetapkan tempoh pembebasan tertentu.
Tanpa mengikuti pendidikan formal atau mempunyai guru ketika berada di penjara, Malik berusaha menimba ilmu dengan meminjam buku daripada banduan lain.
Usahanya membuahkan hasil apabila dia menduduki dan lulus SPM pada usia 21 tahun pada yahun2006, sebelum meneruskan pengajian sehingga memperoleh STPM setahun kemudian.
Malik kemudiannya melanjutkan pengajian dan berjaya memperoleh Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan daripada Open University Malaysia, sekali gus mencatat sejarah sebagai banduan pertama negara menamatkan pengajian PhD ketika berada dalam penjara.
Pada 11 Disember 2024, Sultan Sharafuddin memberikan pengampunan diraja penuh kepada Malik sempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Sultan Selangor.
-BTSMedia.my



