BTS Media

Terumbu karang Pulau Redang rosak teruk, empat lokasi dicadang ditutup dua tahun

GAMBAR: NSTP

EMPAT daripada 15 lokasi terumbu karang di Pulau Redang yang menjadi tumpuan aktiviti snorkeling dan selam skuba dicadangkan ditutup selama dua tahun bagi memberi peluang kepada ekosistem marin berkenaan untuk pulih.

Empat lokasi terbabit ialah Pasir Akar, Pulau Lima, Pulau Paku Besar dan Pulau Ekor Tebu yang mengalami kerosakan terumbu karang melebihi 80 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, cadangan itu dikemukakan pengusaha resort tempatan bersama Reef Check Malaysia susulan kemerosotan membimbangkan keadaan terumbu karang di kawasan berkenaan.

Menurutnya, meskipun faktor semula jadi dan perubahan iklim turut menyumbang kepada kemusnahan terumbu, aktiviti manusia dikenal pasti sebagai punca utama kerosakan.

Beliau berkata, antara perkara yang dikenal pasti ialah pelancong menyentuh atau memijak karang, selain pengendali bot menjatuhkan atas terumbu.

Razali berkata keadaan di Pasir Akar misalnya, menunjukkan tahap kerosakan yang amat ketara apabila kawasan yang sebelum ini dipenuhi terumbu karang berwarna-warni kini mengalami kemerosotan serius.

Katanya, keadaan sama turut dapat dilihat di Pulau Paku Besar dengan kemusnahan yang besar, manakala sebahagian karang didapati mati akibat sauh bot yang dijatuhkan terus ke atas terumbu.

Beliau berkata usaha pemulihan sedang dijalankan, namun proses berkenaan mengambil masa yang panjang kerana pertumbuhan karang baharu masih perlahan.

Menurutnya, karang yang ditanam pada tahun 2023 setakat ini hanya membesar kira-kira tiga hingga empat inci.

Razali berkata cadangan penutupan itu akan dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk dibincangkan bersama Jabatan Taman Laut, Jabatan Laut dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), lapor NST.

Beliau menegaskan, langkah berkenaan bukan bertujuan menyekat kegiatan pelancongan di Pulau Redang, sebaliknya memastikan khazanah alam semula jadi pulau itu mempunyai ruang untuk pulih dan terus menjadi tarikan pelancongan yang lestari dalam jangka panjang.

Sementara itu, penyelam tempatan, Abdul Muhaimin Hou Abdul Bari Hsiung, 26, berkata dia sedih melihat keadaan terumbu karang di Pulau Redang yang semakin merosot berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Katanya, kerajaan negeri dan Persekutuan diharap mengambil tindakan segera bagi memastikan kegiatan pelancongan di pulau berkenaan dilaksanakan secara mampan.

Seorang lagi penyelam, Abdul Rahim Abdullah, 36, pula menyifatkan keadaan terumbu karang yang dilihatnya ketika menyelam baru-baru ini sebagai amat mengecewakan.

Menurutnya, ketika menyelam di Pulau Paku Besar kira-kira 10 tahun lalu, terumbu karang di kawasan itu masih dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, dia mendakwa hampir 99 peratus terumbu yang dilihatnya ketika kunjungan terbaharu telah mati dan diliputi lumut.

Abdul Rahim berkata Pulau Redang merupakan khazanah alam yang tidak terdapat di tempat lain dan mempersoalkan usaha kerajaan serta agensi berkaitan dalam memulihkan semula keindahan kawasan berkenaan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment