BTS Media

Lima premis musnah dalam kebakaran tengah malam di George Town, Chew Jetty terselamat

LIMA premis perniagaan di Pengkalan Weld musnah dalam kebakaran awal pagi ini, namun ia tidak menjejaskan kawasan bersejarah Chew Jetty yang terletak kurang 20 meter dari lokasi kejadian.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.08 pagi sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian.

Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya sekitar pukul 2.03 pagi.

Kebakaran itu memusnahkan sebuah bengkel kenderaan dan perabot, kedai percetakan serta kedai barangan lusuh, selain turut merosakkan empat kenderaan.

Operasi memadam kebakaran membabitkan 25 pegawai daripada tiga balai bomba serta 143 anggota bomba sukarela daripada 18 briged, termasuk pasukan yang datang dari Valdor di tanah besar.

Kerja-kerja pemadaman bagaimanapun berlanjutan sehingga selepas pukul 10.30 pagi apabila anggota bomba masih mengesan titik panas di sebuah bengkel perabot yang terbakar.

Timbunan kayu berat dipercayai menyukarkan usaha memadam sepenuhnya bara api yang tersembunyi di bawah runtuhan, menyebabkan jentera berat dibawa masuk sekitar tengah hari bagi membantu kerja-kerja mengalihkan sisa bangunan.

Premis terbabit dipercayai beroperasi sama ada di bawah Lesen Pendudukan Sementara (TOL) atau pengaturan sewaan tanah dengan Ketua Menteri Diperbadankan (CMI).

-BTSMedia.my

Leave a Comment