BTS Media

Pelantikan ketua audit negara perlu diperketat, elak campur tangan politik

KERAJAAN digesa mengkaji semula Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit bagi memperkukuh proses pelantikan Ketua Audit Negara serta memastikan institusi berkenaan bebas daripada campur tangan politik.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, berkata pindaan undang-undang wajar dipertimbangkan bagi memperketat mekanisme pelantikan itu, termasuk memastikan individu yang berkelayakan dan berintegriti dipilih untuk memegang jawatan berkenaan.

Menurutnya, usaha memperkukuh institusi negara tidak boleh bergantung semata-mata kepada pelantikan individu yang baik ke jawatan penting seperti Ketua Audit Negara, sebaliknya turut memerlukan mekanisme yang dapat menjamin ketelusan serta kebebasan institusi terbabit.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP berkata Malaysia pernah melalui episod campur tangan politik dalam institusi negara, termasuk yang membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Jabatan Audit Negara.

Syahredzan menyifatkan episod berkenaan sebagai antara titik hitam dalam sejarah negara yang perlu dijadikan pengajaran bagi memastikan campur tangan politik tidak berulang.

Beliau berkata, dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) turut menimbulkan persoalan serius apabila mendapati Jabatan Audit Negara tidak sepatutnya memberikan laporan audit bersih kepada TH.

Menurutnya, perkara yang dikategorikan sebagai Emphasis of Matter pada ketika itu sepatutnya direkodkan sebagai ketidakpatuhan.

Keadaan itu, katanya, menimbulkan persoalan serius terhadap tindakan Ketua Audit Negara ketika berkenaan.

Syahredzan turut merujuk kenyataan Pengerusi TH, Abdul Rashid Hussain, semalam bahawa bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad, telah disapina untuk hadir di hadapan RCI dan diberikan peluang menjawab 75 soalan secara bertulis.

Madinah sebelum ini mengesahkan menerima sapina berkenaan dan hadir dalam prosiding RCI pada 3 Jun 2022.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa jawapan bertulis kepada 75 soalan itu tidak boleh menggantikan keterangan secara lisan di hadapan suruhanjaya berkenaan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment