BTS Media

Saravanan anggap tuduhan rasuah ‘dakwaan liar’, dakwa cubaan jatuhkan dirinya

BEKAS Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan menyifatkan tiga pertuduhan rasuah yang dihadapinya sebagai “dakwaan liar”, sambil mendakwa tindakan berkenaan mungkin mempunyai kaitan dengan usaha politik untuk menjatuhkannya.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata beliau terkejut dengan pertuduhan tersebut dan menegaskan bahawa fakta sebenar akan dibentangkan di mahkamah selepas beliau mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Saravanan, beliau juga tidak mempunyai hubungan peribadi dengan individu yang dinamakan dalam pertuduhan berkenaan, kecuali Syed Amirul Syed Ahmad yang didakwanya juga tidak mempunyai hubungan peribadi dengannya.

Beliau berkata jika pertuduhan itu merupakan satu kaedah untuk menjatuhkannya secara politik, pihak terbabit sepatutnya menentangnya secara terbuka di kawasan Parlimen Tapah, bukannya menggunakan tuduhan sedemikian.

Saravanan turut menegaskan bahawa beliau tidak berasa malu dengan pertuduhan tersebut kerana yakin fakta yang dibentangkan kelak akan menunjukkan keadaan sebenar dan mendedahkan apa yang didakwanya sebagai penggunaan bukti palsu terhadap dirinya.

Terdahulu, Saravanan, 58, mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta berkaitan kelulusan kuota 1,000 pekerja asing untuk TYKB Engineering Sdn Bhd.

Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa menerima RM150,000 secara tunai daripada pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, melalui Syed Amirul pada 16 Jun 2022 di Bukit Jalil Golf & Country Resorts.

Pertuduhan kedua pula mendakwa beliau menerima RM350,000 secara tunai daripada individu sama melalui Syed Amirul pada 7 Julai 2022 di Jalan Telawi 3, Bangsar.

Bagi pertuduhan ketiga, Saravanan didakwa menerima RM597,000 daripada Tan melalui Syed Amirul pada tarikh sama menerusi cek Maybank Islamic yang dimasukkan ke dalam akaun milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika disabitkan, beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC pernah memegang jawatan Menteri Sumber Manusia dari 2020 hingga 2022.

-BTSMedia.my

Leave a Comment