LALAT dalam sup dan telur lalat pada ayam mentah antara pencemaran menjijikkan yang membawa kepada arahan penutupan sebuah kedai makan di Johor Barhu oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), semalam.
Tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan hanya memperoleh tahap kebersihan 65 peratus, sekali gus dikategorikan sebagai Gred C.
Menurutnya, pemeriksaan turut menemukan lalat dalam sup serta telur lalat pada ayam mentah, yang boleh menyebabkan pencemaran makanan dan mengancam keselamatan pengguna.
Keadaan kedai itu bertambah membimbangkan apabila beberapa pengendali makanan didapati tidak menerima suntikan antitifoid selain tidak memiliki sijil pengendali makanan.
Sinki premis juga tidak dilengkapi perangkap minyak menyebabkan sisa makanan dan air basuhan mengalir terus ke longkang awam.
Selain itu, kawasan memasak didapati dipenuhi sisa makanan dan tumpahan minyak, manakala bahan makanan di kawasan penyediaan pula disimpan tanpa penutup, bercampur dan terdedah kepada lalat.
Pemeriksaan turut mendapati keadaan peti sejuk tidak bersih dengan sisa makanan yang tertumpah serta susunan bahan makanan tidak teratur.
Pekerja juga didapati mengendalikan makanan tanpa memakai penutup kepala, apron dan kasut yang sesuai, selain memakai aksesori ketika menyediakan makanan.
Premis berkenaan turut menggunakan bekas polisterina untuk pembungkusan makanan.
Arahan penutupan dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil 49(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBJB 2016.
MJB berkata premis makanan perlu memahami bahawa kebersihan bukan sekadar syarat mendapatkan lesen, sebaliknya merupakan tanggungjawab asas dalam melindungi kesihatan dan keselamatan orang awam.
-BTSMedia.my



