SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengingatkan umat Islam supaya tidak menjadikan kebimbangan terhadap keselamatan manusia sebagai alasan untuk berlaku kejam terhadap haiwan, sebaliknya mengimbangi tuntutan menjaga kebajikan haiwan dengan keperluan melindungi nyawa dan harta benda.
Baginda bertitah demikian menerusi hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office sempena khutbah Jumaat bertajuk Ihsan Terhadap Makhluk Allah SWT yang disampaikan di masjid-masjid seluruh Selangor semalam.
Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa manusia sebagai khalifah di muka bumi mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga dan mengurus alam sekitar secara bertanggungjawab, termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan, bukit, laut dan sungai.
Menurut baginda, semua ciptaan berkenaan merupakan tanda kebesaran Allah SWT dan kelangsungannya perlu dipelihara.
Baginda turut mengingatkan bahawa hubungan manusia dengan makhluk lain seharusnya berlandaskan prinsip ihsan dan tanggungjawab, selaras dengan ajaran Islam serta contoh yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW dalam melayan haiwan.
Sultan Sharafuddin berkata umat Islam digalakkan memastikan haiwan mendapat makanan dan air yang mencukupi dan, sekurang-kurangnya, tidak menyakiti atau menzalimi mana-mana haiwan ciptaan Allah SWT.
Bagaimanapun, baginda menjelaskan bahawa pendekatan berbeza boleh diambil sekiranya haiwan liar atau haiwan terbiar benar-benar mengancam keselamatan orang awam atau menyebabkan kerosakan harta benda.
Dalam keadaan sedemikian, tindakan bagi mencegah kemudaratan adalah dibenarkan dalam Islam dan selaras dengan Maqasid Syariah, khususnya prinsip melindungi nyawa dan harta benda.
Peringatan itu dilihat amat relevan ketika terdapat beberapa kejadian serangan anjing terhadap manusia yang menimbulkan kebimbangan awam. Namun, kejadian terpencil seperti itu tidak seharusnya mencetuskan kebencian secara membuta tuli terhadap semua anjing, apatah lagi mendorong tindakan menyeksa, meracun atau membunuh haiwan tanpa keperluan.
Trend sesetengah pihak yang seolah-olah menggunakan kejadian serangan anjing sebagai alasan untuk menyemarakkan kebencian terhadap haiwan juga membimbangkan. Ketakutan terhadap anjing yang agresif adalah sesuatu yang boleh difahami, tetapi rasa takut tidak sepatutnya bertukar menjadi tindakan kejam terhadap haiwan yang tidak mengancam sesiapa.
Pada masa sama, seruan supaya berbelas kasihan terhadap haiwan juga tidak harus disalah tafsir sebagai mengetepikan keselamatan manusia. Anjing liar atau terbiar yang menunjukkan tingkah laku agresif perlu ditangani secara profesional oleh pihak berkuasa dan agensi berkaitan, termasuk melalui langkah kawalan yang wajar dan berperikemanusiaan.
Justeru, titah Sultan Selangor itu membawa mesej yang jelas bahawa ihsan terhadap haiwan dan perlindungan terhadap manusia bukan dua perkara yang bercanggah.
Sebaliknya, kedua-duanya perlu dilaksanakan secara seimbang, rasional dan bertanggungjawab, tanpa membiarkan ketakutan atau kebencian mengatasi pertimbangan akal dan nilai kemanusiaan.
-BTSMedia.my



